Hari pertama perintah berkurung tamat di Wuhan, lebih 620,000 guna pengangkutan awam

Wuhan merupakan bandar asal pandemik Covid-19. (Gambar AP)

WUHAN: Jumlah pengguna pengangkutan awam di Wuhan melebihi 620,000 pada Rabu, sehari selepas bandar raya itu menarik balik perintah berkurung yang dikuatkuasakan selama 76 hari, lapor agensi berita Xinhua.

Jabatan pengangkutan bandar raya itu berkata, 346 laluan bas dan bot, 7 laluan kereta api bawah tanah serta teksi kembali beroperasi, selepas permintaan terhadap pengangkutan awam meningkat susulan perintah berkurung ditarik balik.

“Lebih 624,300 penumpang menggunakan pengangkutan awam di bandar raya ini bermula tengah malam sehingga 5 petang Rabu, termasuk 184,000 menaiki bas, 336,300 pengguna kereta api bawah tanah dan 104,000 menaiki teksi,” menurut jabatan itu.

Jumlah penumpang yang keluar dan masuk ke bandar raya itu juga menyaksikan peningkatan dengan 52,000 orang meninggalkan Wuhan menggunakan kereta api, bas dan kapal terbang manakala 31,000 lagi memasuki bandar itu.