KKM kaji pembahagian zon jangkitan Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji data jangkitan Covid-19 di peringkat daerah dan mukim bagi mengenalpasti dengan lebih tepat kawasan yang dikategorikan sebagai zon hijau, jingga atau merah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata buat masa ini, pihaknya menggunakan kiraan kumulatif dengan memasukkan angka mengikut negeri.

“Jadi kalau kita guna kumulatif akan jadi merah pada satu masa,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Jelasnya, KKM akan melihat data itu dalam tempoh 2 minggu untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai status di zon hijau, jingga dan merah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebarangkalian terdapat pelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di zon hijau di mana terdapat kes positif Covid-19 yang rendah.

Sebelum ini, Pakatan Harapan mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada penduduk di kawasan zon hijau yang bebas daripada penularan wabak berkenaan untuk meneruskan aktiviti perniagaan sekiranya tempoh PKP dilanjutkan.

Ia berpandangan langkah itu akan memberi galakan kepada rakyat terutama di zon hijau untuk terus mematuhi PKP, mengurangkan jangkitan, serta mula memulihkan ekonomi setempat.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata setiap penderma darah yang tampil untuk menderma perlu menjalani beberapa peringkat saringan.

Antaranya, mereka perlu menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 dan penyakit berjangkit.

Kemudian, pesakit akan menerima kaunseling dan khidmat nasihat untuk melihat sama ada mereka bersetuju untuk menerima darah berkenaan.