Lanjut PKP kalau boleh beri wang bulanan kepada orang miskin, kata Fomca

Golongan berpendapatan rendah dan gaji harian akan susah payah jika perintah kawalan pergerakan dilanjutkan, kata Fomca.

PETALING JAYA: Badan pengguna hari ini menggesa kerajaan tidak melanjutkan perintah kawalan pergerakan selepas 14 April kecuali ia boleh sediakan bantuan wang tunai bulanan untuk kumpulan berpendapatan rendah.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia, Marimuthu Nadason berkata golongan berpendapatan rendah dan gaji harian, termasuk pekerja asing, akan terkesan teruk jika PKP dilanjutkan.

Walaupun kerajaan memberikan wang tunai sekali beri sebanyak RM1,600 kepada golongan berpendapatan bawah RM4,000, dan RM500 untuk golongan bujang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan, ia tidak cukup untuk bertahan sepanjang tempoh PKP yang mula berkuatkuasa 18 Mac.

Beliau mengambil contoh Singapura, yang memberikan geran sokongan sebanyak SG$800 (RM2,438) selama 3 bulan berturut-turut bagi pekerja sepenuh masa dan kontrak, mengatakan ia model yang patut diikut.

Beliau juga mengambil contoh jaminan bayaran 80% sebanyak £29 (RM156) sehari di UK bagi mereka yang sifar waktu bekerja atau terhad semasa krisis Covid-19. Ia bersamaan RM3,000 sebulan.

“Walaupun beberapa NGO dan ahli politik mengedarkan makanan, jutaan keluarga tidak ada wang yang cukup untuk perbelanjaan asas harian bagi diri sendiri dan anak-anak.

“Mereka yang menyeru kawalan dilanjutkan terlupa keadaan pahir getir golongan miskin dan yang menderita. Mereka menyeru kawalan dilanjutkan tetapi tidak menuntut mereka yang menderita benar-benar dibantu.

“Kami sekeras-kerasnya menenangkan PKP dilanjutkan. Sudah tentu, jika sains menyatakan ia perlu, maka bantuan dan sokongan untuk golongan miskin dan yang menderita mesti ditingkatkan.”