LHDN sambut baik ahli Parlimen, VIP kembalikan bantuan Covid-19

LHDN membuat pembayaran BPN berdasarkan rekod percukaian tahun taksiran 2018. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini berkata individu kenamaan (VIP), ahli Parlimen dan wakil rakyat lain boleh memilih untuk mengembalikan bantuan Covid-19 kepada kerajaan jika mereka mahu.

Ia selepas tangkap layar laman web Bantuan Prihatin Nasional (BPN) menunjukkan beberapa ahli politik yang layak mendapat bantuan tular di media sosial.

Dalam satu kenyataan hari ini, LHDN berkata BPN berdasarkan rekod percukaian tahun taksiran 2018.

“Penerima diluluskan secara automatik berdasarkan pangkalan data bantuan sara hidup (BSH) dan data rekod percukaian 2018.

“Mereka yang mahu memohon bantuan itu atau rayuan harus mengemaskini data peribadi masing-masing dengan LHDN dan kelulusan permohonan baru tertakluk kepada proses semakan dan verifikasi.

“Semakan awal LHDN mendapati proses penentuan penerima BPN adalah teratur dan mereka yang diluluskan mempunyai tahap pendapatan bercukai di dalam julat pendapatan yang layak menerima BPN,” katanya.

LHDN berkata pihak yang ingin memulangkan BPN boleh menulis surat penolakan dengan menyatakan nama penuh dan nombor MyKad dan melampirkan draf bank atau cek atas nama “Akauntan Negara Malaysia”.

Ia boleh dikemukakan kepada kementerian kewangan di alamat “Pusat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan Malaysia, Presint 2, 62592 Putrajaya”.

Bantuan tunai itu adalah sebahagian daripada pakej rangsangan RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu.

Pembayaran itu berdasarkan kepada tahap pendapatan mereka di mana bantuan RM1,600 untuk isi rumah (B40) berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan, dan RM1,000 kepada isi rumah (M40) yang berpendapatan antara RM4,000 hingga RM8,000 sebulan.

Golongan bujang (B40) berusia 21 tahun dan ke atas, berpendapatan RM2,000 ke bawah sebulan, akan menerima RM800. Manakala golongan bujang (M40) berusia 21 tahun dan ke atas, berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000 sebulan akan menerima bantuan RM500.

Pelajar yang belajar di mana-mana institusi pengajian tinggi akan menerima RM200 setiap seorang.

Mereka yang ingin menyemak status mereka boleh berbuat demikian di https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my.