Pasukan petugas khas selesai tunggakan lebih 4,000 sampel ujian virus di Sabah

Pengarah kesihatan Sabah Dr Christina Rundi. (Gambar Fail)

KOTA KINABALU: Sabah akan dapat menentukan jumlah sebenar jangkitan Covid-19 di negeri itu sebaik pasukan petugas khas yang ditugaskan untuk kerja menyelesaikan lebih 4,000 sampel ujian yang tertunggak.

Pengarah kesihatan negeri, Dr Christina Rundi berkata, 2 pasukan terdiri daripada 15 kakitangan masing-masing bekerja mengikut syif 24 jam sehari akan menyelesaikan tunggakan itu sebaik menerima bekalan bahan uji baru.

“Kami jujur mengenainya (tunggakan) kerana orang ramai bertanya mengapa keputusan ujian mereka lambat.

“Sasaran kami adalah menyelesaikan 4,600 sampel ujian dalam 2 hari. Hanya selepas itu kita dapat melihat keadaan sebenar di Sabah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, jabatannya masih menyiasat jumlah pekerja kesihatan yang dijangkiti Covid-19.

Laporan sebelum ini menyatakan kekurangan kit ujian yang menyukarkan usaha Sabah untuk membendung pandemik itu berikutan pihak berkuasa kesihatan tidak dapat mengesan kes positif baru.

Sabah mempunyai 248 kes setakat ini, termasuk 7 kes baru yang dilaporkan semalam, dengan 82 orang didiscaj dan 969 masih dikuarantin.

Negeri berkenaan merekodkan 2 kematian akibat virus itu.

Menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah, Frankie Poon berkata, bekalan kit ujian yang konsisten mungkin diperlukan bagi memenuhi permintaan setiap hari.

Menurutnya, 1 kit membolehkan 200 ujian dijalankan.

Memandangkan mereka baru menerima 25 set daripada 1 yayasan di Singapura, Poon menambah, mereka mampu menjalankan 5,000 ujian.

“Tetapi, seperti yang dikatakan pengarah, jika kita menjalankan sehingga 1,000 ujian setiap hari, dalam 5 hari kit ini akan habis.