Pekerja sektor hartanah digesa terima potongan ‘kecil’ gaji

Keadaan ekonomi buruk yang menimpa sektor pembinaan bukan sahaja memberi kesan ke atas 1.4 juta pekerjanya, tetapi juga mereka yang bekerja dalam kira-kira 140 industri berkaitan.

PETALING JAYA: Persatuan pemaju perumahan menggesa pekerja dalam industry pembinaan menerima potongan gaji bagi membantu syarikat majikan mereka bertahan.

Bercakap kepada FMT, presiden Persatuan Pemaju Peruamahan dan hartanah (Rehda) Soam Heng Choon berkata, beliau bimbang tempoh 12 bulan ke depan akan menyukarkan industri dan majikan yang mungkin terpaksa meminta pekerja masing-masing menerima potongan “kecil” gaji.

Katanya, beliau menjangka ekonomi akan terus lemah beberapa lama selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan dan orang ramai keberatan untuk membeli hartanah kerana bimbangkan masa depan yang tidak menentu.

Beliau berkata, pekerja akan membantu diri sendiri dalam jangka panjang jika mereka membantu syarikat terus hidup dengan menerima potongan gaji.

Soam juga berkata, pemaju perlu membuat perancangan baru untuk masa depan industri.

Beliau menggesa Putrajaya membantu syarikat pembinaan terus hidup dengan membatalkan premium dan cukai tanah serta cukai taksiran untuk sekurang-kurangnya 1 tahun.

Katanya, keadaan ekonomi buruk yang menimpa sektor pembinaan bukan sahaja memberi kesan ke atas 1.4 juta pekerjanya, tetapi juga mereka yang bekerja dalam kerjaya profesional serta sektor seperti simen, besi dan pengangkutan.

Secara keseluruhan katanya, 140 industri berurus niaga dengan syarikat dalam bidang pembinaan.

Beliau juga menggesa Putrajaya supaya melancarkan kempen pemilikan rumah yang menarik bagi merangsang industri berkenaan.

Presiden Institut Ejen hartanah Malaysia Lim Boon Ping berkata, PKP menyukarkan ejen hartanah kerana mereka tidak dapat mengadakan acara pameran hartanah kepada bakal pembeli.

Beliau berkata, ejen juga banyak menerima panggilan daripada pemilik yang ingin menjual hartanah mereka.

“Pemilik berkata mereka bersedia memberi diskaun 20 hingga 30% kepada pembeli,” katanya.

Penilai hartanah Huan Cheng Kee memberitahu FMT bahawa beliau menjangka harga apartmen akan jatuh susulan “penawaran yang berlebihan”.

“Pasaran perlahan sejak Februari,” katanya.

Pakar ekonomi Hoo Ke Ping berkata, bank akan berdepan masalah bayaran balik selepas moratorium ke atas pinjaman berakhir pada September ini.

Beliau berkata, masalah akan berpunca daripada peminjam dengan pendapatan lebih RM4,000 sebulan kerana mereka tidak termasuk dalam mana-mana pakej menyelamat kerajaan.