PKP dilanjut atau tidak diketahui esok

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA: Keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan disambung atau sebaliknya selepas tamatnya tarikh fasa ke-2 pada 14 April akan dipericikan menerusi mesyuarat esok.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata demikian sambil memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga menyenaraikan cadangan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) untuk dibincangkan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Seperti saya sebutkan cadangan melibatkan zon-zon merah, kuning dan hijau, perkara ini akan dibincangkan lebih terperinci esok, MKN telah edarkan cadangan tersebut dan kita akan bincang esok dan KKM juga akan perincikan kawasan melibatkan ketiga-tiga zon itu.

“Setiap PKP atau PKPD sama ada akan disambung atau tidak ia akan dibuat atas nasihat KKM, saya tidak tahu apa tindakan seterusnya, kita serah kepada KKM dan mereka akan menasihatkan kerajaan.

“Selepas nasihat dibuat, kerajaan akan buat keputusan, selagi tidak ada pengumuman kita kira setakat ini, PKP diteruskan sehingga 14 April, kecuali ada pengumuman baru, terserah kepada KKM,” katanya ketika sidang media selepas mensyuarat khas menteri dan pihak terlibat dalam mendepani penularan wabak Covid-19.

KKM dijangka menyediakan data pada 10 April kepada kerajaan untuk kerajaan menentukan sama ada melanjutkan perintah itu atau pun tidak.

Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM juga akan mengemukakan beberapa cadangan untuk pertimbangan Kabinet berhubung status PKP.