PKPD di Kluang disambung 4 hari lagi

PKPD di Simpang Renggam, Kluang Johor disambung 4 hari lagi. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kluang, Johor akan dilanjutkan sehingga 14 April.

Katanya, lanjutan selama 4 hari itu membabitkan 3,500 penduduk.

“PKPD di Simpang Renggam, Kluang di Johor yang bermula pada 26 Mac 2020 akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Ismail berkata, tempoh lanjutan itu dibuat bagi menyelesaikan beberapa isu yang belum diselesaikan pihak berkuasa di kawasan terbabit.

“Kita setuju sambung, untuk menyelesaikan beberapa perkara yang masih dalam tindakan,” katanya.

26 Mac lalu, Kluang merangkumi Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam merupakan kawasan pertama dikenakan PKPD.

Semalam, bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dikenakan PKPD selepas 15 kes positif Covid-19 dikesan.

Ia membabitkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman serta premis perniagaan di 2 bangunan terbabit.

Ini adalah kawasan ke-4 yang dikenakan PKPD selepas Kluang, Sungai Lui di Hulu Langat dan Menara City One.