Sabah boleh jadi periuk nasi Malaysia, kata badan pemikir

Sebuah badan pemikir berkata, hanya 10% tanah subur di Sabah digunakan untuk penanaman padi

KOTA KINABALU: Sebuah badan pemikir berkait MCA menggesa Sabah memanfaatkan apa yang disifatkannya sebagai potensi besar negeri itu untuk muncul sebagai periuk nasi negara dengan berkata, wabak Covid-19 yang melanda kini menawarkan peluang untuk memikirkan semula industri makanan Malaysia.

“Kita perlu mengaktifkan semula puluhan ribu hektar kawasan penanaman padi yang terbiar, selain mempelbagaikan tanaman makanan di luar tanaman komoditi seperti minyak sawit,” kata Institut Analisis Strategik dan Kajian Dasar (Insap).

Timbalan pengerusi Insap Pamela Yong bagaimanapun berkata, Sabah ketandusan wawasan politik, selain menambah bahawa pemimpin negeri itu tidak harus berasa lega kerana Sabah mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk tempoh 4 bulan akan datang.

“Betul, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) memberi jaminan bahawa Sabah mempunyai simpanan untuk 4 bulan. Tetapi di luar tempoh itu, apakah yang kita ada?,” katanya.

“Kita harus memanfaatkan perkongsian pintar dan perkongsian inovasi serta teknologi dalam teknik pertanian terbaru bagi memajukan kegiatan pertanian di kawasan pantai barat yang luas.

Yong berkata, Sabah sangat bergantung pada import makanan, terutama beras.

Pada 2017, 74% terdapat semua import makanannya ialah beras, sementara import sayur-sayuran mencecah angka 47% berdarakan angka daripada Kerangka Dasar Pertanian Sabah 2018.

Beliau mengingatkan bahawa panemik Covid-19 menggugat menggugat industri makanan dunia, dengan beberapa negara Asean menimbangkan kemungkinan mengharamkan eksport beras.

“Ini menyebabkan banyak pihak di Sabah bertanya sama ada isu keselamatan makanan boleh bertukar menjadi krisis besar dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata, tanah subur di Sabah banyak tidak digunakan, dengan menambah bahawa hanya 10% tanah yang sesuai untuk penanaman padi digunakan.

“Ini sangat membimbangkan bagi sebuah negeri dengan pendapatan median RM4,110, iaitu di bawah purata kebangsaaan sebanyak RM5,228 dan pekali gini 0.402 berbanding angka kebangsaan 0.399.”