Terperangkap dan terbiar: Nasib pekerja migran tanpa permit di Sabah

Isteri pekerja pembinaan bimbang sama ada mereka mempunyai makanan untuk hari-hari akan datang.

PENAMPANG: Apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) kerajaan mula berkuat kuasa pada 18 Mac lepas, pekerja migran Abdul Rizuan dan keluarganya terpaksa hidup dengan RM100 yang diberikan oleh bosnya sehari sebelum itu.

Bagaimanapun hari ini, wang itu sudah habis.

Beliau bukan sahaja bimbang mengenai bekalan makanan keluarga, tetapi juga keadaan bayinya berusia baru 1 bulan.

Beliau berkata, RM100 diberikan kepada pekerja lelaki dan RM50 kepada pekerja wanita yang bekerja sehari sebelum PKP dikuat kuasa. Itu sahaja.

“Saya terdesak. Saya perlu wang untuk membeli susu. Apa juga jenisnya, walaupun susu pekat,” kata pekerja binaan itu.

Kuarters pekerja pembinaan di sebuah kampung di Penampang, Sabah.

Sepanjang minggu lepas, isterinya memasak bubur untuk keluarga mereka, iaitu mereka berdua dan 3 anak lelaki berusia dari 6 tahun hingga 1 bulan.

Rizuan adalah antara 28 ketua keluarga pekerja migran tanpa permit yang terperangkap di tapak pembinaan satu projek perumahan mewah di Penampang berdekatan dengan SMK Datuk Peter Mojuntin.

Kesemua 116 daripada mereka, termasuk kanak-kanak dan bayi hidup dalam keadaan yang daif di kuarters pekerja yang diperbuat daripaya kayu.

Mereka tidak mendapat bantuan makanan kerajaan dan tidak juga boleh bergerak dengan bebas tanpa kad pengenalan dan dokumen perjalanan.

Mereka mendakwa majikan membiarkan mereka begitu sahaja apabila PKP dilanjutkan pada 1 April.

Hanya pada Khamis minggu lepas, penyelia syarikat membawa masuk bekalan beras, telur dan mi segera untuk diagih-agihkan dalam kalangan keluarga mereka.

“Setiap keluarga mendapat beras 5kg, 15 biji telur dan 8 paket mi segera Maggi,” kata rakan Rizuan, Yusop.

“Dua hari lepas (Isnin), kami cuba menghubungi majikan, tetapi dia tidak angkat telefon,” kata Yusop dengan menambah bahawa bekalan makanan yang diterima minggu lepas juga sudah habis.

Kanak-kanak bermain di ruang tamu kuarters pekerja.

Seorang pekerja lain, Malin Jainal berkata, syarikat berhutang gaji semua pekerja sebanyak 3 bulan dan wang terakhir yang diterima mereka hanya RM100 untuk menampung keperluan sepanjang tempoh PKP.

“Saya mula bekerja di sini awal tahun ini dan hanya dibayar gaji pada Februari. Selepas ditolak pendahuluan yang saya ambil dan sebagainya, saya hanya mendapat RM300.

“Untuk bulan Mac dan April, saya belum dapat apa-apa lagi,” katanya.

Penduduk setempat memberitahu FMT bahawa beliau bimbangkan keadaan pekerja migran terbabit.

“Mereka mungkin menjadi sangat terdesak dan terpaksa mencuri. Mereka orang baik, tetapi mungkin terpaksa melakukan jenayah jika keadaan ini berterusan,” kata lelaki berusia 60 tahun yang tinggal berdekatan tapak pembinaan tersebut.

Katanya, kedai runcit di situ terpaksa berhenti memberi kredit kepada pekerja berkenaan kerana hutang mereka mencecah hingga RM3,000.

Beliau mendakwa, pemilik kedai runcit tersebut juga bimbang pekerja terbabit tidak mampu membayar hutang kerana majikan tidak lagi berhubung dengan mereka.

Lelaki itu berkata, majikan pekerja berkenaan sebelum ini memberi mereka kupon, bukan wang tunai, untuk membeli barang makanan.

Pasangan suami isteri pekerja migran di hadapan kuarters mereka.

Katanya, kupon itu hanya laku di kedai runcit yang diwujudkan oleh syarikat itu sendiri dan barangan pula dijual pada harga yang lebih tinggi.

“Syarikat tidak membayar mereka wang, tetapi diberikan kupon supaya gaji yang dibayar sedikit dan pada masa sama membuat keuntungan di atas pekerja mereka sendiri,” katanya.

Seorang lagi penduduk setempat yang hanya mahu dikenali sebagai Simon berkata, memberi bantuan kepada pekerja migran tanpa permit adalah isu politik sensitif.

“Walaupun kami mahu membantu mereka, tidak banyak yang kami boleh buat. Masalah ini dipolitikkan kerana sentimen anti-migran yang wujud dalam kalangan ramai rakyat Sabah.

“Kami cuba dapatkan bantuan NGO yang bebas politik supaya membantu mereka, tetapi setakat ini tidak ada apa-apa.”

Simon berkata, pemimpin tempatan juga dimaklumkan tentang keadaan mereka, tetapi ramai yang tidak mahu terlibat kerana masalah politik.

Simon percaya, pekerja migran tanpa permit ini turut dieksploitasi di tempat-tempat lain di Sabah dan keadaan yang berlaku di situ hanyalah contoh yang kecil.