Tinjauan: Hampir separuh orang bekerja sendiri hilang pekerjaan semasa PKP

Wabak Covid-19 dan PKP memberi kesan teruk pada ekonomi.

PETALING JAYA: Tinjauan Jabatan Perangkaan mendapati hampir separuh daripada responden yang bekerja sendiri hilang pekerjaan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa.

Laporan melibatkan 168,182 responden itu juga mendapati 43% responden yang bekerja sendiri tiada wang yang cukup untuk bertahan lebih daripada 2 minggu, manakala kewangan 28.4% responden lain hanya boleh bertahan selama sebulan.

Daripada responden yang bekerja sendiri, kira-kira 46.6% responden hilang pekerjaan manakala 35.5% responden yang masih bekerja menyaksikan pendapatan mereka berkurangan sehingga lebih 90%.

Mengikut sub-sektor, mereka di sektor makanan dan minuman teruk terkesan dengan 35.4% hilang pekerjaan, diikuti sektor perikanan (33%) dan pertanian (21.9%). Sub-sektor logistik pula menyaksikan 18.7% hilang pekerjaan.

Mengenai kesiapsiagaan kewangan sekiranya PKP dilanjutkan, 81.9% responden yang bekerja sendiri tidak bersedia, sementara 71.3% majikan dan 65.1% pekerja sewasta juga memaklumkan mereka tidak bersedia.

Tinjauan juga mendapati 7% daripada pekerja sektor swasta bercuti separuh gaji sementara 13.2% bercuti tanpa gaji.

Responden di Sabah, Kelantan, dan Perlis paling terkesan dengan PKP.

Tinjauan mendapati antara 12% hingga 19% responden yang bekerja sendiri, majikan, pekerja syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta, dan syarikat multinasional tidak sedar kerajaan menyediakan bantuan kepada pekerja yang bercuti tanpa gaji.

Fasa kedua PKP dijadualkan tamat 14 Apr. Kerajaan dijangka mengumumkan sama ada ia akan dilanjutkan tidak lama lagi.