Ringgit terus momentum menaik berbanding dolar AS

Ringgit meningkat berbanding dolar AS dan trend itu dijangka berterusan berikutan kerajaan di seluruh dunia bersedia untuk meningkatkan ekonomi mereka sama ada secara fiskal atau monetari.

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum meningkat semalam untuk diniagakan tinggi berbanding dolar AS dalam sesi awal hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu yang lemah susulan pengumuman mengenai kemudahan baru oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada 9.03 pagi, ringgit berada pada 4.3180/3270 berbanding dolar AS daripada 4.3320/3380 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua ekonomi Bank Islam Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah Fed mengumumkan lebih banyak rangsangan kewangan berjumlah AS$2.3 trilion menunjukkan bank pusat itu akan melakukan apa sahaja untuk memulihkan ekonomi, terutamanya mengenai fungsi pasaran kredit.

Katanya, AS mencatatkan jumlah tuntutan pengangguran sebanyak 6.6 juta yang merupakan petunjuk kepada situasi sukar untuk pasaran buruh dan ekonomi berikutan Covid-19.

“Ini merupakan tuntutan pengangguran minggu ke-3 berturut-turut yang meningkat pada paras tertinggi sepanjang masa dan kadar pengangguran pada masa depan boleh mencecah kadar 2 angka dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata, ringgit meningkat pagi ini berbanding dolar AS dan trend itu dijangka berterusan berikutan kerajaan di seluruh dunia bersedia untuk meningkatkan ekonomi mereka sama ada fiskal atau monetari.

“Ini dapat memberi harapan bahawa ekonomi akan meningkat semula jika Covid-19 dapat dibendung,” katanya.

Sementara itu, ketua strategi pasaran global AxiCorp Stephen Innes berkata, mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan pengeluar minyak bersekutunya (OPEC+) semalam memutuskan untuk mengurangkan sebanyak 10 juta tong sehari (mbpd).

“Walaupun harga minyak rendah hari ini, saya berpendapat pengurangan pengeluaran akan membuktikan harga minyak akan meningkat berdasarkan data Covid-19, yang menunjukkan sekatan pergerakan keluar dan masuk akan berakhir dengan lebih cepat daripada jangkaan,” katanya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding euro kepada 4.7157/7264 daripada 4.7123/7202 pada Khamis dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0460/0543 daripada 3.0432/0841.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9779/9873 daripada 3.9802/9868 dan naik berbanding pound kepada 5.3742/3893 daripada 5.3834/3926 semalam.