Peguam sokong hukuman keras ke atas pengingkar serius PKP

Kerajaan kini mengambil semua langkah perlu bagi menamatkan krisis kesihatan awam akibat Covid-19 dengan segera.

PETALING JAYA: Mereka yang dengan sengaja melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) hendaklah ditangkap dan didakwa di mahkamah bagi menunjukkan bahawa pihak berkuasa serius dalam menyekat penularan wabak Covid-19, kata peguam N Sivananthan.

“Polis mesti menghantar mesej jelas dan tegas bahawa ia tidak akan bertolak-ansur dengan individu yang melanggar perintah itu kerana kerajaan kini mengambil semua langkah perlu bagi menamatkan krisis kesihatan awam itu dengan segera,” katanya kepada FMT.

Sivananthan berkata, contohnya adalah mereka yang ditangkap berparti secara berkumpulan atau minum arak di tempat awam hendaklah dijatuhi hukuman keras berbanding 2 orang yang ditahan dalam sebuah kenderaan menuju ke satu-satu destinasi.

Dalam kes kedua katanya, tindakan kompaun sudah memadai.

Beliau memberi respons kepada kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang melanggar PKP atau gagal bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Katanya, polis akan berindak tegas dan tidak akan bertolak-ansur terhadap pengingkar PKP, terutama sekali selepas ia dilanjutkan hingga 28 April depan.

“Mereka yang tidak mematuhi PKP akan ditangkap dan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 34 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya pada sidang media harian beliau.

Kesalahan pertama boleh dihukum hingga 2 tahun penjara atau demda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Keslahan kedua boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya pada Jumaat (10 April), 1,095 ditahan kerana melanggar PKR dengan 815 daripadanya dikenakan kompaun RM1,000, 242 ditahan reman, sementara 38 dilepas dengan jaminan polis.

Bagaimanapun pada Rabu, pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Acryl Sani Abdullah berkata, polis akan mengeluarkan notis kompaun RM1,000 kepada pengingkar PKP.

Katanya, notis kompaun itu boleh dibayar di mana-mana pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh 2 minggu.

Sehubungan itu, peguam mengalu-alukan langkah kerajaan untuk mengeluarkan notis kompaun dengan berkata, ia akan meringankan beban kerja polis dan juga mahkamah, selain mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19.

Hari ini, peguam Baljit Singh berkata, tindakan mengeluarkan notis kompaun harus menjadi pilihan pertama, berbanding penangkapan pesalah untuk didakwa.

“Saya setuju hanya pesalah ulangan ditangkap dan didakwa,” kata Baljit, selain menambah bahawa dalam keadaan semasa, kompaun RM1,000 itu tinggi bagi sesetengah orang.

Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Aol-Mahdzar juga berkata, pengingkar serius perlu didakwa di mahkamah, tetapi polis harus mengambil semua langkah bagi memastikan tiada sesiapa dijangkiti wabak itu dalam proses tersebut.

“Ambil kenyataan mereka dan elakkan menahan suspek di lokap polis walaupun untuk tempoh 24 jam. Jika pendakwa raya memutuskan untuk membuat penadkwaan, lebih baik mereka diberikan jaminan polis,” katanya.

Syed Iskandar juga mengingatkan polis bahawa orang ramai cenderung untuk melanggar undang-undang dan arahan kerana hal keadaan yang dialami mereka berikutan penguatkuasaan PKP sejak 18 Mac.

“Mereka mungkin berasa bimbang tentang mata pencarian masing-masing atau pelbagai isu lain berkaitan keluarga dan kewangan,” katanya.