Tiada pesakit sembuh dijangkiti Covid-19 semula di Malaysia, kata Hisham

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif yang lemah tidak akan menjangkiti orang lain, tetapi ada kebarangkalian kecil mereka dijangkiti Covid-19 semula.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada pesakit pulih daripada Covid-19 yang dijangkiti virus itu semula di Malaysia setakat ini.

“Ada 2, 3 kes, tetapi ia ‘weak positive’, iaitu dalam peringkat peluruhan virus, kadangkala ia ‘very weak’,” katanya dalam taklimat harian Covid-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sedemikian kerana ia seolah-olah memberi kesan positif Covid-19, tetapi ia sebenarnya peluruhan virus.

Katanya, kes positif yang lemah tidak akan menjangkiti orang lain, tetapi ada kebarangkalian kecil mereka dijangkiti Covid-19 semula.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan beberapa kes di Korea Selatan, di mana pesakit yang disahkan pulih daripada Covid-19 kembali dijangkiti virus itu.

Kontrak pegawai farmasi

Hisham berkata, gesaan untuk kerajaan melanjutkan kontrak pegawai farmasi dalam usaha memerangi Covid-19 terletak di bawah bidang kuasa bahagian sumber manusia.

Katanya, setakat ini Kementerian Kesihatan mempunyai kakitangan farmasi mencukupi dalam usaha memerangi Covid-19.

“Tapi (pegawai farmasi) yang sudah habis (kontrak) boleh berkhidmat ikut kontrak jangka pendek dengan (pasukan) sukarelawan.”

Terdahulu, Persatuan Farmasi Malaysia menggesa Putrajaya melanjutkan kontrak 3,500 pegawai farmasi yang dijangka akan meninggalkan KKM, hospital dan unit farmasi Angkatan Tentera Malaysia antara April, Julai dan Disember ini jika kontrak mereka tidak dilanjutkan.

Katanya, kumpulan terawal pegawai farmasi dijangka tamat kontrak dan meninggalkan perkhidmatan pada 16 April ini.

Sementara itu, Hisham berkata, satu kematian dicatatkan di flat PKNS di Kampung Baru, Kuala Lumpur, setakat ini dan pengesanan kes aktif masih dijalankan.

Bagi kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatakan, katanya, 10 kes baru dicatatkan di Kluang, 9 kes baru di Hulu Langat, Menara City One (1 kes baru), Selangor Mansion (32 kes baru) dan tiada kes baru di Malayan Mansion.

Pesakit pulih bantu kajian

Hisham berkata, 12 pesakit yang sudah sembuh menderma plasma darah mereka untuk digunakan dalam kajian rawatan Covid-19.

Katanya, bekas pesakit itu akan diberikan kaunseling sebelum menjalani ujian jangkitan kuman serta penyakit lain.

“Setelah diberi kaunseling, KKM akan rujuk mereka kepada Pusat Darah Negara untuk diambil darah bagi kajian rawatan Covid-19.”

Kit ujian

Hisham berkata, KKM belum menemui kit ujian tepat dan boleh diharapkan.

“Hari ini dan esok ada kit ujian (diterima) dari Korea Selatan. Harap keputusan akan beri ketepatan yang tinggi untuk KKM guna pakai.

“Untuk kit ujian, apa yang penting adalah ujian Covid-19 boleh dilaksana dalam tempoh singkat. Jadi tempoh proses ujian adalah pendek. Mungkin satu jam mungkin setengah jam.”