Polis Selangor siasat warga asing sambut pesta ‘Songkran’ semasa PKP

Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan pekerja warga Thailand menyambut pesta Songkran di Sepang.

SHAH ALAM: Polis Selangor mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung sekumpulan pekerja warga asing dipercayai di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang dikatakan mengadakan pesta ‘Songkran’ malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata siasatan dibuat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, iaitu kecuaian yang boleh merebakkan jangkitan dan membahayakan nyawa.

“Pihak polis Selangor sahkan ada menerima maklumat tersebut, yang mana disiarkan melalui Facebook dan video rakaman itu berdurasi 30 minit memaparkan beberapa warga asing yang merayakan perayaan ‘Songkran’.

“Kita sahkan memang ada satu siasatan dibuat. Tindakan sedang dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media IPK Selangor mengenai perkembangan Ops Covid-19 di Selangor.

Yazid berkata, bagaimanapun setakat ini belum ada tangkapan kerana kes itu sedang dalam siasatan.

Sebelum itu, Bernama melaporkan, Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan menerima maklumat mengenai ‘pesta’ berkenaan yang diadakan di pekarangan asrama kilang pekerja terbabit.

Sebuah video berdurasi lebih 30 minit yang tular di media sosial menunjukkan kumpulan pekerja asing menari sambil menyanyi dipercayai meraikan festival air atau lebih dikenali sebagai Songkran.

Menurut maklumat pada video berkenaan, mereka adalah pekerja di sebuah kilang sarung tangan.

Tindakan mereka menerima kecaman orang ramai kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika negara berusaha membendung penularan wabak Covid-19.

144 kertas siasatan dibuka kes penipuan topeng

Dalam perkembangan lain, Yazid berkata polis Selangor membuka 144 kes penipuan topeng di negeri itu yang melibatkan kerugian sebanyak RM1.5 juta.

Beliau berkata setakat ini polis berjaya menangkap 20 orang yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan itu.

“Polis Selangor ingin nasihatkan kepada lapisan masyarakat di luar sana supaya hati-hati dalam membuat pembelian di atas talian,” katanya.