UIAM bangun robot periksa pesakit Covid-19 di hospital

Pensyarah kejuruteraan UIA menguji prototaip Medibot, sebuah robot yang dilengkapi kamera dan skrin untuk berkomunikasi dengan pesakit dari jarak jauh. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Kumpulan saintis Malaysia mencipta robot berbentuk tong beroda yang mereka harapkan boleh menjalankan pemeriksaan di wad hospital bagi memeriksa pesakit koronavirus bagi mengurangkan risiko jangkitan terhadap petugas kesihatan.

“Medibot” adalah robot putih dengan ketinggian 1.5m (5 kaki), dilengkapi dengan kamera dan skrin yang membolehkan pesakit berkomunikasi dari jarak jauh dengan doktor.

Ciptaan itu yang dibina oleh saintis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), turut dilengkapi dengan alat untuk memeriksa suhu badan pesakit dari jarak jauh.

Ia bertujuan membantu jururawat dan doktor yang bekerja di wad mengamalkan penjarakkan sosial, kata Zulkifli Zainal Abidin, ahli pasukan di belakang ciptaan itu, kepada AFP.

Ia menelan belanja kira-kira RM15,000 untuk dibangunkan, dan pihak universiti merancang untuk menguji robot itu segera di hospital mereka sendiri, di mana ia tidak merawat pesakit virus, kata Zulkifli.

Jika jika ia membuahkan kejayaan, saintis berharap ia boleh digunakan di hospital kerajaan di mana pesakit Covid-19 dihantar.

Malaysia mencatatkan 4,683 kes koronavirus, termasuk 76 kematian.

Dari Thailand ke Israel, robot digunakan untuk memerangi koronavirus, yang telah mengorbankan lebih 110,000 orang di seluruh dunia.

Penggunaan robot semakin meningkat berikutan ia terbukti cepat, cekap dan kalis jangkitan dalam perang melawan pandemik itu.