Jenayah di KL tercantas lebih separuh sepanjang PKP1, PKP2

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim.

PETALING JAYA: Polis Kuala Lumpur memaklumkan jenayah di ibu negara turun lebih separuh sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa pertama dan fasa ke-2 berkuatkuasa.

Ketua Polis KL, Mazlan Lazim berkata statistik sepanjang PKP1, iaitu dari 18 Mac hingga 31 Mac, menunjukkan kadar jenayah indeks menurun 57.4%.

Jenayah indeks merupakan jenayah yang kerap dilaporkan dan mempunyai signifikasi yang dianggap mustahak sebagai penunjuk keadaan jenayah, seperti mendatangkan kecederaan, bunuh, cabul kehormatan, rogol, ugutan, pemerasan, samun, pecah rumah, curi dan ragut.

“Kadar jenayah indeks sebanyak 184 adalah kurang dari nilai ambang yang telah ditetapkan iaitu 432,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara semasa PKP2 pula, iaitu 1 Apr hingga 14 Apr, kadar jenayah indeks menurun 63%, atau penurunan sebanyak 160 dan kurang dari nilai ambang yang sama.

Kadar jenayah kekerasan dan harta benda juga masing-masing turun 62.8% dan 55.5% semasa PKP1, dan 74.3% dan 59% semasa PKP2.

Mazlan berkata penurunan kadar jenayah sepanjang PKP1 dan PKP2 disebabkan peningkatan sekatan jalan raya, rondaan, elemen di balai polis, dan kumpulan pemantau yang menguatkuasakan kawalan disamping mencegah jenayah.

Mengenai pematuhan PKP pula, Mazlan berkata jumlah keseluruhan tangkapan sepanjang PKP1 hingga PKP3 sehingga semalam sejak 18 Mac adalah 930 orang, iaitu 828 lelaki dan 102 perempuan.

“Seramai 502 orang daripada jumlah tangkapan tersebut merupakan warganegara asing. Semua tangkapan bagi ketiga-tiga fasa PKP berusia dalam lingkungan 16 hingga 86 tahun,” katanya.

Semasa PKP1, seramai 200 orang ditangkap, terdiri daripada 187 lelaki dan 13 perempuan, manakala semasa PKP2, seramai 656 orang ditangkap, terdiri daripada 572 lelaki dan 84 perempuan ditangkap.

“Manakala, tangkapan PKP3 setakat semalam pula seramai 74 orang yang terdiri daripada 69 orang lelaki dan 5 orang wanita,” katanya.

Mereka ditangkap kerana mengingkari PKP seperti tidak mengendahkan nasihat dan amaran polis, tidak mahu bekerjasama dan tidak mahu mematuhi arahan polis, serta memberikan alasan yang tidak munasabah.

“Polis KL sentiasa berusaha keras untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang selamat,” katanya, mengingatkan polis akan ambil tindakan lebih tegas sepanjang PKP3.

“Polis KL juga meminta kerjasama orang ramai supaya mematuhi arahan PKP agar dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.”

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.