Surat terbuka kepada menteri pendidikan

Saya harus mengakui bahawa membuat keputusan penting dalam waktu wabak pandemik luar biasa sebegini sangatlah sukar.

Demikian juga dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) serta penangguhan semua peperiksaan utama. Ia pasti keputusan yang telah melalui pertimbangan sebaiknya.

Walaupun begitu, saya mempunyai perspektif sedikit berbeza. Saya berpandangan KPM wajar mengemukakan “exit strategy” yang lebih komprehensif dengan menonjolkan pelbagai penyelesaian kreatif.

Channel News Asia pada 15 April melaporkan “intermittent circuit breakers” mungkin jalan keluar yang penting untuk dipertimbangkan semua kerajaan.

Ini bermakna, perintah kawalan pergerakan (PKP) ini tidak akan berkesan dengan hanya sekali pelaksanaan. Ia mungkin perlu dilakukan secara berkala dengan menggunakan “switch on and switch off strategy”.

Mengambil kita senario ini, kita mesti “exhaust” semua cara dan alternatif sebelum kita membatalkan UPSR dan PT3.

Kita harus menerima hakikat walaupun PKP akan menjadi kelaziman, pembelajaran, pentaksiran dan penilaian juga sangat penting dalam sesuatu sistem pendidikan. Cuma waktu ini kita perlu melaksanakannya dalam keadaan berbeza tanpa membatalkannya.

Di negara yang lebih parah kes Covid-19 seperti Jerman, mereka membuat keputusan meneruskan pembukaan sekolah pada 4 Mei ini secara perlahan dengan keutamaan kepada kohort yang akan menduduki peperiksaan. Ini juga berlaku di Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan beberapa negara lain.

Mungkin wajar untuk dipertimbangkan agar semua kohort yang menduduki peperiksaan diutamakan sama ada dengan membenarkan mereka pergi ke sekolah atau disediakan menghadapi peperiksaan secara online.

Benar hampir 40% pelajar tidak mempunyai peranti untuk pembelajaran online. Maka, kita mesti ada penyelesaian untuk menyediakan peranti ini dengan keutamaan perlu diberikan kepada kohort yang menduduki peperiksaan.

Banyak kawasan di Malaysia dalam zon hijau. Kawasan pedalaman kebanyakannya zon hijau dan kita juga mempunyai mekanisme mengenal pasti kawasan merah.

Mungkin boleh dipertimbangkan agar mereka dalam zon hijau disediakan untuk menduduki peperiksaan seperti dijadualkan, sementara mereka yang dalam kawasan merah atau sekitarnya, dibenarkan menangguh dan disediakan peperiksaan umum fasa ke-2.

Dalam waktu sangat luar biasa ini, penyelesaian kita tidak harus sama sekali mengambil pendekatan “one size fits all”.

Justeru, mungkin dengan pelan kebersihan dan penjarakan fizikal yang komprehensif, mereka yang berada dalam zon hijau boleh mengikuti pembelajaran dengan produktif.

Pendidikan tidak boleh terhenti walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Ia adalah sumber utama kepada ketahanan kita sebagai sebuah bangsa dan negara.

Begitu juga sistem pengajian tinggi kita, apa jua penangguhan kemasukan dan pembelajaran adalah “counter-productive” kerana semuanya boleh dilakukan secara online.

Universiti luar yang mempunyai kampus di Malaysia serta IPTS beralih kepada pendaftaran pelajar baru secara online dan mereka memulakan pengajian juga secara online kepada pelajar baru dengan garis panduan kemas dan teratur.

Pembelajaran bersemuka hanya akan berlaku setelah keadaan pulih sepenuhnya, yang kita tidak tahu bila.

Justeru, pendaftaran pelajar baru di pelbagai peringkat pendidikan tinggi harus berlaku dalam masa ditetapkan. Pusat matrikulasi dan IPTA kita tidak mempunyai alasan untuk tidak beroperasi secara online dengan “seamless”.

Malaysia mesti memenangi peperangan menentang Covid-19 ini dan meneruskan pendidikan dengan pelbagai kelaziman baru adalah sebahagian daripada kemenangan ini.

Saya menyeru KPM memimpin generasi muda Malaysia dalam memerangi pandemik ini melalui keperkasaan semangat, kerja keras, kreativiti dan kemampuan luar biasa dengan meneruskan pembelajaran, pendidikan dan peperiksaan melalui cara berlainan.

Mohamed Khaled Nordin ialah naib presiden Umno.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.