Dadah RM75 juta dirampas sepanjang PKP

Jabatan narkotik menempatkan pegawainya di semua sekatan jalan raya di seluruh negara.

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah bernilai RM75 juta setakat ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Ramli Din berkata, pengedaran dadah meningkat sejak mengalami penurunan pada fasa pertama PKP dari 18 hingga 31 Mac.

“Jabatan ini berjaya membuka 3,085 kes dengan 3,923 tangkapan di seluruh negara,” katanya pada sidang media pagi ini.

Seramai 208 orang disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1992.

Ramli juga berkata polis melakukan 5 serbuan berskala besar di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak serta merampas 165kg dadah dan 61,566 pil bernilai lebih RM5 juta. Juga terdapat 15 tangkapan.

Beliau berkata polis mengenal pasti pelbagai kaedah yang digunakan untuk melepasi sekatan PKP, termasuk menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan dan e-hailing. Lapan kes dikenal pasti.

Ramli berkata, pihaknya berjaya mengenal pasti rangkaian pengedar dadah besar yang terlibat dalam beberapa kes dengan mengesan penerima dan pengirim bungkusan tersebut dan mengesan pembekal mereka dari sana.

Beliau menambah tidak semua pemandu e-hailing didapati terlibat secara langsung dengan dadah ketika menghantar barangan. Sesetengah bungkusan yang disyaki dihantar ke balai polis untuk pemeriksaan, katanya.

“Sesetengah (e-hailer) yang tahu (mengenai bungkusan itu) kadang-kadang mengenakan harga yang lebih tinggi untuk penghantaran,” tambahnya.

Sejumlah 376 orang ditahan dengan dadah di sekatan jalan raya setakat ini dengan lebih RM345,000 dadah dirampas.

Lebih separuh kenderaan yang ditahan di sekatan jalan raya membawa dadah adalah motosikal. Sebanyak 40% lagi adalah kereta dan 9% adalah kenderaan lain.

Ramli berkata pegawai polis dari jabatan narkotik yang dapat mengenal pasti pengedar dadah dan dadah tersembunyi diletakkan di semua sekatan jalan raya di seluruh negara.

Mereka yang didapati bersalah memiliki dadah di sekatan jalan raya akan disiasat di bawah ADB dan juga melanggar PKP.

Pada sidang media itu, Ramli turut membincangkan trend penjualan dadah secara kecil-kecilan sepanjang PKP.

Beliau berkata sesetengah yang didapati memperoleh dadah, kemudian membungkusnya dalam jumlah yang lebih kecil dan dipromosikan melalui aplikasi atas talian seperti WeChat dan WhatsApp.

Beliau juga mengulas mengenai 17 serbuan ke atas parti persendirian, mengatakan serbuan dilakukan di Johor (12), Pulau Pinang (3), Kuala Lumpur (1) dan Perak (1).

Seramai 123 orang ditangkap termasuk 93 lelaki, 30 daripadanya berumur 14 hingga 40 tahun.