Patuhi PKP, Dr Mahathir ingatkan VIP

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, anggota kerajaan sepatutnya menunjukkan teladan yang baik dan mematuhi peraturan yang dibuat oleh kerajaan sendiri.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengingatkan menteri dan timbalan menteri kerajaan supaya mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang berjalan bagi memutuskan rangkaian jangkitan wabak Covid-19.

Beliau berkata, tiada sesiapa pun yang terkecuali daripada mematuhi perintah itu, termasuk VIP atau orang kenamaan kerana negara mempunyai undang-undang dan peraturan yang perlu diikuti.

“Sepatutnya kerajaan tunjukkan teladan yang baik dan ikut peraturan yang dibuat oleh kerajaan sendiri.

“Tetapi nampaknya mereka anggap diri mereka ‘macam istimewa’ dan tidak perlu patuh pada arahan kerajaan,” katanya.

Mahathir mengingatkan semua pihak supaya tidak menganggap diri mereka istimewa dan boleh ketepikan undang-undang.

Sebelum itu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata sesiapa sahaja, termasuk VIP yang melanggar PKP tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Ismail berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada polis untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan ke atas individu kenamaan yang ingkar PKP.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai insiden “individu berjawatan tinggi” yang berkumpul beramai-ramai dan melanggar PKP.

Terdahulu tular di media sosial beberapa gambar pemimpin, termasuk dari kerajaan membuat lawatan dan menikmati hidangan makanan.

Perbuatan itu mendapat kritikan banyak pihak.