Tanya KDN kenapa lulus himpunan tabligh, Dzulkefly balas kenyataan menteri kesihatan

Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba tidak sepatutnya bermain politik, sebalik memberi tumpuan kepada usaha menangani wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad berkata, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sepatutnya bertanya kepada menteri dalam negeri kerajaan Pakatan Harapan (PH), iaitu Muhyiddin Yassin mengenai kelulusan himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur awal bulan lepas.

“Umum mengetahui pihak yang bertanggungjawab beri (kelulusan) himpunan besar sama ada Thaipusam, himpunan agama Hindu di Pulau Pinang, termasuk himpunan tabligh adalah menteri dalam negeri, iaitu perdana menteri ke-8 pada masa ini.

“Menteri kesihatan wajar tanya kepada perdana menteri sekarang ini kenapa diizinkan himpunan tabligh itu atau menterinya (ketika itu) tertumpu kepada agenda lain,” katanya kepada FMT.

Dzulkefly yang merupakan bekas menteri kesihatan dalam pentadbiran lepas berkata, adakah ia menunjukkan bahawa Muhyiddin mempunyai agenda lain pada ketika itu.

Terdahulu hari ini, Adham mendakwa pentadbiran sebelum ini gagal mengawal penularan wabak Covid-19, khususnya melibatkan kluster jemaah tabligh, yang kemudiannya menjadi kluster terbesar wabak itu di seluruh negara.

Beliau berkata, sekiranya pentadbiran lepas berjaya mengawal penularan wabak ini dengan lebih baik ketika itu, beliau percaya kes membabitkan wabak Covid-19 di negara ini hanya akan terdiri daripada kluster kecil sahaja.

Himpunan tabligh di Masjid Sri Petaling diadakan pada 27 Feb hingga 3 Mac lepas membabitkan lebih 14,000 peserta.

Pada 24 hingga 29 Feb, pentadbiran kerajaan PH gagal berfungsi selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. Ketika itu, negara hanya dipimpin oleh beliau sebagai perdana menteri interim.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 di bawah kerajaan Perikatan Nasional pada 1 Mac. Manakala, anggota Kabinet baru, termasuk Adham yang dilantik sebagai menteri kesihatan mengangkat sumpah pada 10 Mac.

Kerajaan mula menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 pada 18 Mac, dan kini memasuki fasa ke-3 sehingga 28 April depan.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, sangat malang bagi Adham membangkitkan isu ini pada saat rakyat mengharapkan kepimpinan tegas dan naratif yang jelas daraipada menteri kesihatan.

Beliau berkata, adakah Adham cuba mengalihkan isu melibatkan timbalannya yang tular sebelum ini kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial.

“Sangat kecewa guna helah untuk alih pandangan,” katanya merujuk kepada insiden gambar tular menunjukkan timbalan menteri kesihatan dan beberapa lain menghadiri satu jamuan di Perak semalam.

Dalam pada itu, Dzulkefly juga menasihatkan Adham supaya memberi tumpuan lebih kepada isu Covid-19 dan kurangkan berpolitik.

“Ini bukan masa nak berpolitik. Ini masa semua pihak sama-sama tangani isu Covid-19. Jangan kita main politik pada saat ramai yang berkorban untuk tangani Covid-19,” katanya.

Negara mencatatkan 54 kes baru Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 5,305 kes, dengan 88 kematian.

Dalam pada itu, sebanyak 135 kes disahkan pulih dan dibenarkan keluar wad menjadikan bilangan pesakit sembuh 3,102 orang.