Hendak beli mahal, Orang Asli Mexico anyam sendiri topeng guna daun

Bagi masyarakat Orang Asli di Mexico, topeng anyam lebih murah jika hendak beli. (Gambar Facebook)

Meskipun sumber terhad dan harga yang tidak berpatutan, itu tidak menghalang sekumpulan komuniti Orang Asli di Mexico menghasilkan topeng hidung dan mulut sendiri demi melindungi diri daripada jangkitan Covid-19.

Menggunakan kaedah anyaman, topeng kraftangan itu dihasilkan daripada daun palma yang merupakan sejenis tumbuhan asli di daerah Oaxaca.

Menurut seorang pengusaha kraftangan dikenali Juana Lopez, pembuatan topeng menggunakan daun itu lebih murah berbanding topeng perubatan.

“Topeng ini lebih mudah kerana ia boleh dibasuh dan digunakan semula.

“Ia lebih cepat dan murah kerana topeng sangat mahal untuk dibeli ketika krisis (Covid-19) ini,” katanya seperti dilaporkan Al-Jazeera.

Komuniti Mixtec dipercayai turut memberi tumpuan dalam penghasilan produk kraftangan lain seperti tikar dan topi. (Gambar Facebook)

Difahamkan, masyarakat yang juga dikenali sebagai komuniti Mixtec itu turut menghasilkan sejumlah 5,000 topeng muka untuk didermakan kepada kumpulan Orang Asli di seluruh negara.

Komuniti itu sebelum ini turut memberi tumpuan dalam penghasilan produk kraftangan lain seperti tikar dan topi.

Mexico sebelum ini mengisytiharkan darurat selama sebulan bermula 30 Mac lalu dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Negara itu, sehingga kini, mencatatkan lebih 8,000 kes positif dengan 686 kes kematian dilaporkan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]