Tiada pemberhentian, potong gaji kakitangan GLC di Sabah

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Shafie Apdal berkata tiada pemotongan gaji atau pemberhentian membabitkan ribuan kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah.

Shafie berkata beliau menasihatkan semua pengurusan GLC memastikan gaji kakitangan mereka dibayar meskipun perusahaan mereka terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya sedar GLC kita menghadapi pelbagai masalah. Tapi saya minta mereka mengambil langkah dan memberikan input kepada Kementerian Kewangan untuk meringankan beban mereka.

“Kita mempunyai ribuan pekerja – Yayasan Sabah, misalnya mempunyai kakitangan yang ditugaskan di sini hingga ke daerah-daerah di Sabah.

“Namun saya menasihatkan ketua-ketua tidak menamatkan perkhidmatan mereka dan memastikan tidak ada pemotongan gaji. Mereka mesti membayar semua gaji yang harus mereka bayar,” katanya kepada pemberita di kompleks pentadbiran negeri.

Terdapat kira-kira 221 GLC di Sabah yang menggajikan puluhan ribu pekerja dalam sektor seperti pembangunan hartanah dan ladang hingga kuari dan sektor lain.

Shafie turut mengumumkan bantuan tunai secara “one-off” sebanyak RM500 untuk semua penjawat awam Sabah dan pekerja harian kerajaan dengan gred gaji dari Gred 54 dan ke bawah.

Beliau berkata bayaran akan dibuat bulan depan.

Shafie berkata wang bantuan kepada penjawat awam itu akan diambil dari bil bekalan tambahan sebanyak rm533 juta yang diperuntukkan untuk pakej bantuan Covid-19 yang diluluskan DUN semalam.

Beliau juga berkata kerajaan negeri mempertimbangkan kemungkinan untuk mewujudkan platform atas talian untuk membolehkan perniagaan menjual makanan pada bulan puasa.

Katanya, kerajaan juga menungggu penghantaran 10,000 bahan uji (reagen) Covid-19 untuk membantu pihak berkuasa kesihatan di negeri itu menyelesaikan masalah tunggakan.

Jumlah sampel tunggakan untuk pemeriksaan Covid-19 di Sabah mencecah lebih 4,000 bulan ini kerana kekurangan reagen dan kit ujian pantas.

Kali terakhir jabatan kesihatan mengemaskini kes tunggakan pada 17 April.

“Jabatan kesihatan negeri ketika ini hanya dapat menguji hingga 1,000 pesakit sehari,” kata Shafie. “Ujian dilakukan melalui makmal Kementerian Kesihatan di sini dan juga makmal swasta.”

Kutipan Tabung Bencana COVID-19 mencapai sekitar RM15 juta melalui sumbangan daripada GLC dan syarikat swasta.