Anggota perubatan antara 2 korban Covid-19

PUTRAJAYA: Seorang anggota perubatan berusia 32 tahun antara 2 pesakit Covid-19 yang meninggal dunia hari ini, menjadikan keseluruhan 95 kematian setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, anggota perubatan wanita itu mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan ialah kontak rapat kepada kes positif Covid-19 di kluster Hospital Pakar Muar, Johor.

“Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April dan disahkan meninggal dunia pada 12.36 tengah malam 23 April,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, satu lagi kematian membabitkan lelaki berusia 67 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan buah pinggang, serta merupakan kontak rapat bagi kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Bali.

“Beliau dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April dan disahkan meninggal dunia pada 11.48 malam 22 April.”

Hisham berkata, 71 kes baru dilaporkan hari ini, tetapi jumlah pesakit sembuh lebih tinggi, iaitu 90 orang.

Ini adalah hari ke-7 berturut-turut kes baru mencatatkan 2 angka sejak 16 April lalu.

Sehingga kini, 3,542 pesakit atau 63.22% sembuh sepenuhnya, manakala 1,966 pesakit masih menerima rawatan.

Daripada jumlah itu, katanya, 42 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi, dengan 21 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Keseluruhan rakyat yang dijangkiti Covid-19 di Malaysia sehingga hari ini berjumlah 5,603 orang.

Hisham berkata, 325 anggota perubatan dijangkiti Covid-19, dengan 185 daripadanya sembuh, 137 masih dirawat dan 3 meninggal dunia.

Katanya, 70% daripadanya dijangkiti Covid-19 ketika menghadiri majlis keraian dan melancong ke luar negara.

Beliau mengingatkan petugas barisan depan dan kakitangan perubatan supaya sentiasa mencuci tangan, mengelakkan berada di tempat sesak seperti pantri dan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) ketika merawat pesakit.

Vaksin Covid-19

Hisham berkata, Malaysia sedang berunding dengan beberapa negara untuk menjalankan penyelidikan bagi mencipta vaksin Covid-19.

“Kita sedang menjalankan kerjasama padu dengan negara lain yang ada kemampuan mencipta vaksin.”

KKM sebelum ini mengesahkan ubat Remdesivir diluluskan sebagai ubat antiviral baru bagi merawat Covid-19, tetapi penggunaannya masih di peringkat kajian dan kesannya terlalu awal untuk diketahui.

Rakyat Malaysia jadi korban Covid-19 di Dubai?

Hisham berkata, KKM belum dimaklumkan mengenai dakwaan seorang rakyat Malaysia meninggal dunia di Dubai akibat Covid-19.

“Kita akan bekerjasama dengan Wisma Putra kalau ada kematian membabitkan rakyat Malaysia di Dubai.”