2 wanita Mongolia saman inspektor atas penahanan salah, serangan seksual

Dua wanita Mongolia dilaporkan ditahan di satu sekatan jalan di Petaling Jaya pada 10 April lalu atas dakwaan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

KUALA LUMPUR: Dua wanita Mongolia yang mendakwa diri menjadi mangsa rogol memfailkan saman terhadap seorang inspektor dan pemilik sebuah hotel butik di Mahkamah Tinggi hari ini.

Wanita berusia 20 dan 37 tahun itu, yang identitinya dirahsiakan kerana mereka mungkin memfailkan perintah larangan sementara (gag order), menyaman inspektor itu atas penahanan salah dan serangan seksual.

Mereka turut menyaman hotel berkenaan kerana membantu anggota polis terbabit melakukan kesalahan yang dikatakan itu.

Firma guaman Thomas Philip memfailkan writ saman itu di Mahkamah Tinggi di sini, petang tadi.

Dua wanita itu menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai.

Peguam Mathew Thomas Philip berkata, ini ialah langkah pertama untuk menuntut ganti rugi bagi dakwaan serangan itu.

“Kami berharap mahkamah akan mengiktiraf kerosakan tidak dapat ditebus yang dialami anak guam saya dan juga pelanggaran keyakinan yang dilakukan tertuduh ketika kecemasan nasional.”

Katanya, beliau menulis surat kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed hari ini untuk mendapatkan penjelasan bila inspektor itu akan didakwa.

“Konsulat Mongolia meletakkan kepercayaan terhadap firma kami untuk membantu warganegara mereka dan kami akan bekerja keras untuk menjalankan tanggungjawab ini.”

Firma guaman itu berkata, ia menerima dokumen undang-undang daripada konsul kehormat Mongolia minggu lalu untuk membantu prosiding berkenaan bagi pihak 2 mangsa itu dan 3 kenalan mereka yang ditahan selepas memaklumkan pihak berkuasa berhubung dakwaan kejadian terbabit.

Dua wanita itu dilaporkan ditahan di satu sekatan jalan di Petaling Jaya pada 10 April lalu atas dakwaan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Anggota polis itu didakwa membawa 2 wanita terbabit ke sebuah hotel di mana beliau dituduh merogol mereka.

Seorang suspek berusia 30 tahun direman 7 hari, tetapi dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lalu.

Polis Petaling Jaya dilaporkan berkata, kertas siasatan kes itu sudah dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya di Shah Alam untuk tindakan lanjut.