Australia gesa negara G20 haram pasar hidupan liar

Pekerja menangkap haiwan yang terlepas di pasar makanan laut Huanan di Wuhan, China pada Januari. (Gambar AP)

SYDNEY: Autralia menyeru negara G20 supaya mengharamkan pasar basah hidupan liar berikutan kebimbangan ia mmenjadi ancaman kepada kesihatan manusia dan pasar pertanian, langkah yang akan menyebabkan hubungan dengan China tegang setelah Canberra menggesa siasatan antarabangsa ke atas pandemik koronavirus.

Pandemik itu yang berasal dari China dilihat bermula di pasar basah di bandar Wuhan. Pasar basah adalah aspek utama kehidupan seharian rakyat China, walaupun tidak semua menjual hidupan liar.

China melaksanakan larangan sementara ke atas penjualan hidupan liar pada 23 Jan dan mengkaji undang-undang untuk menyekat perdagangan hidupan liar secara tetap.

Menteri Pertanian, David Littleproud berkata pada Khamis bahawa beliau meminta pegawai kerajaan daripada Kumpulan 20, iaitu gabungan negara ekonomi terbesar dunia supaya menyokong rancangan untuk menamatkan pasar basah hidupan liar.

“Terdapat risiko berhubung pasar basah hidupan liar dan ia juga boleh menjadi risiko besar kepada industri pertanian kita seperti yang mereka lakukan terhadap kesihatan awam,” kata Littleproud kepada televisyen Channel 7 Australia.

Pegawai Amerika Syarikat (AS) menggesa supaya pasar basah hidupan liar di seluruh Asia ditutup. Pasar basah wujud di seluruh Asia menjual sayuran segar, makanan laut dan daging, dengan segelintir turut menjual haiwan eksotik.

Littleproud tidak menyebut nama China, tetapi komen beliau dibuat susulan desakan Australia terhadap siasatan antarabangsa mengenai punca dan langkah menangani pandemik koronavirus.

Perdana Menteri Scott Morrison menulis di Twitter pada Rabu bahawa beliau mengemukakan pertanyaan itu dalam panggilan telefon kepada Presiden AS Donald Trump dan negara kuasa besar lain.

Perancis dan Britain berkata, kini adalah masa untuk memerangi virus itu bukan menuding jari. China menuduh penggubal undang-undang Australia menerima arahan AS.

Rumah Putih lantang mengkritik cara China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menangani wabak itu, dan telah menarik balik dana AS kepada agensi PBB itu.

Penularan Covid-19 menjangkiti sekitar 2.3 juta orang di seluruh dunia dan mengorbankan hampir 160,000, menurut kiraan Reuters.

Australia mencatatkan kira-kira 6,600 kes koronavirus dengan 75 kematian.

China adalah rakan perdagangan terbesar Australia, namun hubungan diplomatik kedua-dua negara itu terjejas beberapa tahun kebelakangan ini di tengah-tengah dakwaan bahawa Beijing melakukan serangan siber dan cuba campur tangan dalam urusan domestik Canberra.