Colombia tukar pasar raya jadi pusat aduan mangsa keganasan rumah tangga

Wanita yang berdepan masalah keganasan rumah tangga boleh mendapatkan bantuan di ratusan pasar raya dan farmasi di Colombia. (Gambar AP)

BOGOTA: Wanita di ibu negara Colombia yang berdepan masalah keganasan rumah tangga boleh mendapatkan bantuan di ratusan pasar raya dan farmasi sebagai sebahagian daripada kempen baru yang dilancarkan pada Rabu bagi mengatasi peningkatan keganasan gender di bawah sekatan pergerakan berikutan Covid-19.

Program itu melibatkan lebih 630 pasar raya daripada 3 rantaian yang berbeza dan farmasi Farmatodo di Bogota di mana pengurus kedai dilatih cara bertindak balas kepada wanita yang meminta bantuan dan bagaimana untuk menghubungi polis.

Bogota, bandar dengan 8 juta penduduk, dan seluruh negara dikenakan sekatan pergerakan ketat sejak akhir Mac dalam usaha membendung penularan Covid-19 yang menjangkiti sekitar 4,350 orang dan mengorbankan sekurang-kurangnya 200 orang di seluruh Colombia.

Keganasan rumah tangga tidak boleh dianggap sebagai masalah yang berlaku di sebalik “pintu tertutup”, kata Diana Rodriguez, ketua hal-ehwal wanita di pejabat datuk bandar Bogota yang mengambil inisiatif itu.

“Kami melancarkan strategi baru #SafeSpaces, supaya wanita yang mengalami keganasan di rumah dapat melaporkan hal ini dan dibantu,” katanya dalam satu kenyataan.

“Tidak ada wanita yang harus tinggal bersama penyerangnya, institusi sedia menyokong wanita. Kita seharusnya berada di rumah tetapi di rumah tanpa keganasan,” katanya.

Poster mengenai kempen itu diletakkan di tingkap kedai kedai dan diiklankan di media sosial.

Wanita di rumah dengan pendera mereka ketika sekatan pergerakan merasa sukar untuk mendapatkan pertolongan, sementara ketegangan mengenai kerja rumah yang paling mudah sehingga perkara yang lebih berat seperti kebimbangan hilang pekerjaan mudah bertukar menjadi keganasan, kata pakar.

Di Bogota, talian hotline keganasan rumah tangga yang dikendalikan oleh kerajaan menerima sekitar 471 panggilan dan pesanan WhatsApp sehari – peningkatan 160% sejak kuarantin bermula.

Di seluruh Colombia, 13 wanita dibunuh sejak sekatan pergerakan bermula, ramai yang dibunuh oleh teman lelaki atau suami di rumah mereka, menurut data kerajaan.

Negara di seluruh dunia melaporkan peningkatan keganasan rumah tangga di bawah sekatan pergerakan berikutan virus Covid-19, satu perkembangan yang digambarkan PBB sebagai “pandemik bayangan” yang semakin meningkat.

Di Amerika Latin di mana budaya macho mendorong keganasan terhadap wanita, kerajaan termasuk Chile, Mexico, Argentina dan Colombia memperluas talian hotline, menambah perkhidmatan pesanan dan memastikan tempat perlindungan dan mahkamah keluarga dibuka untuk membantu mangsa.

Di Buenos Aires, di mana panggilan ke talian bantuan penderaan yang dikendalikan oleh kerajaan meningkat sebanyak 60% sepanjang sekatan pergerakan, inisiatif yang diperkenalkan kepada wanita supaya menggunakan kod perkataan “topeng merah” untuk melaporkan keganasan rumah tangga kepada ahli farmasi.

Inisiatif yang serupa dilaksanakan di Sepanyol dan Perancis.