Diberi betis, nak paha pula, kata Najib berkait isu Rohingya

Najib Razak mengetuai perhimpunan di Kuala Lumpur pada Disember 2016 sebagai solidariti terhadap pelarian Rohingya Islam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Najib Razak menyokong tindakan kontroversi pihak berkuasa menolak bot membawa pelarian Rohingya memasuki perairan Malaysia pada minggu lalu, kira-kira 4 tahun selepas bekas perdana menteri itu mengetuai satu himpunan mengecam dasar Myanmar terhadap minoriti ditindas itu.

Kejadian pada minggu lalu itu dikritik kumpulan hak asasi manusia selepas berpuluh pelarian Rohingya mati kelaparan akibat bot mereka ditolak pihak berkuasa.

Najib menerusi catatan di Facebooknya malam ini mengecam mereka yang menggesa pelarian di Malaysia diberikan bantuan kerana komuniti itu turut terjejas akibat perintah kawalan pergerakan di seluruh negara bagi membendung penularan Covid-19.

Katanya, Malaysia sudah banyak membantu golongan minoriti itu.

“Inilah kata orang, sudah diberikan betis, nak paha pula.

“Kita tak zalim, tetapi sampai bila kita perlu tangani masalah ini yang bermula sejak 1990-an?” soalnya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, negara anggota Asean lain juga patut bertanggungjawab membantu pelarian Rohingya.

Kenyataannya menyusul komen xenofobia yang semakin bertambah di media sosial menyasarkan etnik itu, selepas rayuan aktivis untuk memberi bekalan makanan kepada puluhan ribu Rohingya yang tinggal di kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dan Pusat Bandar Utara yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sehingga 3 Mei ini.

Pihak berkuasa dilaporkan berkata, mereka menjangkakan kedutaan asing akan membantu warganegara mereka di kawasan PKPD.

Tetapi, Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara oleh kerajaan Myanmar dan ada pihak bimbang komuniti itu akan kelaparan tanpa bantuan pihak berkuasa Malaysia.

Minggu lalu, kumpulan hak asasi manusia mengkritik tindakan pihak berkuasa menolak kira-kira 500 Rohingya yang cuba memasuki perairan Malaysia selepas terkandas di laut selama berminggu-minggu.

Minggu lalu, 60 etnik Rohingya dilaporkan mati kelaparan dalam sebuah kapal pukat tunda yang sarat dengan ratusan pelarian Rohingya selepas pihak berkuasa Thailand dan Malaysia enggan membenarkan mereka memasuki perairan negara.

Keganasan terhadap Rohingya Islam, yang dianggap minoriti paling tertindas di dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, menyebabkan ratusan ribu Rohingya melarikan diri ke negara jiran.

Dianggarkan 200,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia, tetapi mereka dinafikan pekerjaan sah kerana kerajaan tidak mengiktiraf mereka sebagai pelarian.

Pada 2016, Najib mengetuai satu himpunan memfokuskan penderitaan etnik Rohingya dan mengecam kerajaan Myanmar serta pemenang Anugerah Keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi kerana mendiamkan diri terhadap keganasan disasarkan ke atas Rohingya di negeri Rakhine.

“Myanmar anggap saya campur tangan dalam urusan (dalaman mereka). Dia gertak saya, saya tak peduli,” kata Najib dalam perhimpunan di Kuala Lumpur pada Disember 2016 yang dihadiri ribuan penyokong, termasuk daripada PAS.

“Kita nak beri isyarat kepada kerajaan Myanmar, nak beritahu (kaunselor negara) Aung Sang Suu Kyi – ‘enough is enough’.

“Saya hadir bukan atas nama Najib Razak, tetapi atas nama ummah dan rakyat Malaysia. Tiada himpunan yang lebih mulia berbanding atas nama Islam.”