Kerajaan arah DBKL, JKM selesai isu agih makanan di Pusat Bandar Utara

PETALING JAYA: Kerajaan mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan bagi memastikan pengagihan bekalan makanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur diselesaikan hari ini.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat mengambil maklum mengenai aduan berhubung pengagihan bekalan makanan di kawasan PKPD itu.

“Macam-macam ditularkan semalam. Sebenarnya pengagihan berlaku tetapi mungkin ada yang tertinggal dan sebagainya,” katanya pada sidang media harian.

Semalam, FMT melaporkan anggaran 15,000 pelarian Rohingya yang tinggal di kawasan di Selayang yang dikenakan PKPD dalam usaha melawan Covid-19, berdepan kelaparan kerana bantuan makanan daripada kerajaan hanya diberikan kepada rakyat Malaysia.

Memetik sumber, mereka tidak mungkin terima bantuan daripada kedutaan kerana tidak diiktiraf kerajaan Myanmar sebagai rakyatnya.

Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dikenakan PKPD sehingga 3 Mei ini, kawasan ke-3 di ibu negara yang dikawal ketat selepas Menara City One di Jalan Dang Wangi, dan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India.

Ismail berkata pihak berkuasa telah membuka pusat operasi di kawasan PKPD tersebut.

Beliau berkata jika penduduk menghadapi masalah untuk membeli barang keperluan harian lain seperti susu bayi, lampin bayi dan lain-lain, boleh menghubungi pusat operasi berkenaan.

“Setiap PKPD ada pusat operasi. Setiap isu wujud atau ada masalah boleh hubungi pusat operasi itu.

“Jika ada isu berbangkit seperti membeli barangan lain, kerajaan akan bekalkan makan kering, beras dan barang lain,” katanya.

Ismail berkata diharap tidak menimbulkan sebarang isu kerana pegawai JKM sentiasa ada di pusat operasi berkenaan.