Kini Sarawak hanya benarkan makanan dijual atas talian pada Ramadan

Kerajaan Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Terengganu dan Negeri Sembilan melarang penganjuran bazar Ramadan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

KUCHING: Kerajaan Sarawak hanya membenarkan peniaga menjual makanan melalui konsep e-bazar sepanjang bulan Ramadan, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah.

Ia berbeza dengan pengumumannya semalam di mana peniaga makanan dibenarkan beroperasi di kawasan rumah mereka untuk perkhidmatan bawa pulang mulai 3 petang hingga 10 malam sepanjang bulan puasa. Kebenaran itu turut meliputi hotel, restoran serta premis makanan segera.

Bagaimanapun, hari ini, beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memutuskan untuk membuat beberapa pelarasan selepas menerima maklum balas berhubung keputusan awal itu.

“Perkhidmatan menghantar makanan untuk e-bazar Ramadan bermula 7 pagi hingga 7 malam.

“Hotel dan restoran turut dibenarkan menjual makanan ketika Ramadan secara atas talian mulai 7 pagi hingga 7 malam,” katanya pada sidang media hari ini.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii sebelum ini menggesa kerajaan negeri tidak melonggarkan sekatan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan membenarkan peniaga menjual makanan secara bawa pulang di kawasan rumah mereka pada bulan Ramadan.

“Keputusan ini sebenarnya membuka rumah kepada orang luar yang mungkin menjadi pembawa virus tanpa sedar, khasnya bagi pesakit tidak bergejala.

“Ini juga mungkin menggalakkan (orang) berada di luar atau melakukan perjalanan tidak perlu pada lewat malam. Buat masa ini, kes khasnya di Kuching masih tinggi dan kadar kematian kita serta statistik lain masih membimbangkan,” kata Yii.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Douglas Uggah Embas berkata Sarawak mencatatkan 4 kes baru Covid-19 hari ini, menjadikan keseluruhannya 459 kes setakat ini.

Katanya, kes pesakit dalam siasatan (PUI) di Sarawak turut meningkat daripada 155 semalam kepada 257 orang hari ini selepas pengesanan kontak ditingkatkan di Kuching.