Lebih 80% pesakit Covid-19 tiada simptom atau gejala ringan

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih 80% pesakit yang disahkan positif Covid-19 tidak mempunyai gejala atau bergejala ringan tetap dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Tidak seperti beberapa negara luar yang pesakit berkenaan ada yang tidak dimasukkan ke hospital dan hanya dikuarantin di kediaman masing-masing.

“Kalau dapat kesan dengan awal kes positif Covif-19, pesakit akan terus dimasukkan ke wad dan kita akan pantau mereka.

“Kategori satu ialah tiada gejala dan kategori 2 ada gejala ringan,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, kategori 3 ialah pesakit dengan tanda radang paru-paru, tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen, kategori 4 mempunyai tanda radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen serta kategori 5 dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan.

Kes baru di kawasan PKPD

Hisham berkata, 22 kes baru dikesan di Selangor Mansion, Jalan Masjid India, menjadikan keseluruhan 107 kes setakat ini.

Katanya, Kampung Sungai Lui di Hulu Langat pula mencatatkan 10 kes baru, menjadikan semuanya 141 kes.

Beliau berkata, kawasan lain yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) tiada pertambahan kes.

Sukarelawan

Hisham berkata, KKM menggalakkan penyertaan sukarelawan untuk membantu petugas barisan depan memerangi Covid-19.

“Ramai yang mohon menjadi sukarelawan, tetapi mungkin tiada kepakaran. Kita juga kena lihat di mana boleh tempatkan mereka, sama ada di wad, ICU atau tempat sesuai.

“Kita juga perlu lihat pada kemampuan dan keperluan kita di wad, ICU dan sebagainya.”

Zon hijau

Hisham berkata, keadaan di Pengerang masih terkawal kerana tiada kes baru dikesan dan pemantauan diteruskan selama 2 minggu sebelum ia boleh diisytiharkan zon hijau.

Katanya, setakat ini, Perlis ialah negeri pertama kembali menjadi zon hijau selepas 2 minggu tiada jangkitan baru.