Mahkamah Rayuan julung kali adakan prosiding melalui sidang video

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan buat pertama kali dalam sejarah badan kehakiman negara menjalankan prosiding perbicaraan atas talian melibatkan kes rayuan tuntutan tanggungan oleh 3 pelancong asing terhadap sebuah syarikat pengangkutan.

Prosiding secara penstriman langsung kepada orang awam itu bermula 10 pagi menerusi portal rasmi www.kehakiman.gov.my.

Prosiding lebih sejam itu menunjukkan panel 3 hakim, peguam dan timbalan pendaftar mahkamah menguruskan prosiding menerusi sidang video dari rumah dan pejabat masing-masing bagi mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pada prosiding itu, panel hakim yang dipengerusikan Kamardin Hashim mendengar rayuan Zhoa Fangliang, Jin Haifan dan Zhu CunChua terhadap syarikat pengangkutan, Satu Hati Sdn Bhd.

Turut bersidang hakim Lee Swee Seng dan Azizah Nawawi.

Peguam K.F.Ee mewakili ketiga-tiga perayu itu, manakala peguam Nurul Dalilah Darmawi dan Azizi Mohd [email protected] Shaghir mewakili Satu Hati, selaku defendan.

Panel 3 hakim, peguam dan timbalan pendaftar mahkamah menguruskan prosiding lebih sejam menerusi sidang video dari rumah dan pejabat bagi mematuhi PKP.

Azizi, ketika dihubungi, berkata sebelum bermula prosiding itu, mahkamah merekodkan persetujuan semua pihak supaya prosiding dijalankan atas talian dan penstriman secara langsung.

Tiga kes rayuan itu didengar secara bersama berhubung kemalangan bas di Johor pada 7 Okt 2015 yang mengorbankan 4 pelancong dari China.

Perayu itu mengemukakan saman tuntutan tanggungan atas kematian anak dan pasangan mereka, manakala seorang perayu membuat tuntutan kerana mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut.

Perbicaraan hari ini berhubung rayuan terhadap perintah penangguhan pelaksanaan yang diberikan Mahkamah Tinggi kepada syarikat itu sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Selepas mendengar penghujahan peguam, panel hakim menolak ketiga-tiga rayuan itu atas alasan tiada merit.