MP Sarawak gesa pertimbang kebenaran jual juadah Ramadan hingga 10 malam

Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii hari ini menggesa kerajaan Sarawak tidak melonggarkan sekatan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas rakyat Sarawak semalam diberi “lampu hijau” untuk menjual makanan bungkus pada bulan Ramadan.

Yii berkata keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak yang membenarkan rakyat Sarawak menjual makanan dari rumah dari jam 3 petang hingga 10 malam dibuat tanpa mempertimbangkan risiko yang sewajarnya dan boleh menggagalkan semua usaha baik yang dicapai di bawah PKP sejak beberapa minggu lalu.

Sarawak mempunyai 2 zon merah, Kuching dan Kota Samarahan. Tanpa vaksin Covid-19, mekanisme pengujian yang meluas atau strategi mencegah berlakunya lonjakan kes, Yii berkata, ia terlalu awal untuk meminta kelonggaran PKP di negeri itu.

“Keputusan ini secara efektif membuka ruang orang luar ke rumah orang lain yang mungkin pembawa virus tanpa disedari khasnya pesakit yang tidak bergejala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ini juga dapat mendorong orang awam berada lebih lama di luar atau perjalanan sehingga larut malam, malah kes Covid-19 khasnya di Kuching masih tinggi dan kadar kematian serta statistik masih membimbangkan.”

Yii juga mempersoalkan bagaimana pegawai penguatkuasa akan memastikan pematuhan peraturan itu berlaku, terutama jika mereka harus memanjangkan waktu kerja.

Beliau berkata rakan-rakannya yang beragama Islam juga tidak setuju dengan keputusan itu, menyatakan ia tidak perlu beroperasi sehingga 10 malam.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan keputusan itu akan meningkatkan risiko jangkitan sekunder seperti yang dilihat di Singapura dan Hokkaido.

“Saya percaya hanya sehingga dapat mengekang penularan wabak secara efektif termasuk memperhebatkan usaha mengenal pasti dan menyaring hubungan rapat lebih 2,000 yang dilaporkan dari 3 kluster utama di Kuching, baru dapat mempertimbangkan strategi keluar atau melonggarkan sekatan di bawah PKP,” katanya.