PH mahu jumpa speaker, desak lanjut sidang Parlimen

PH mencadangkan sidang Parlimen diadakan selama 2 hari bagi membahaskan isu semasa, khususnya Covid-19.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan bertemu Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof bagi menyuarakan pandangan mereka supaya persidangan Dewan Rakyat dijalankan lebih daripada sehari.

Gabungan itu juga memberi contoh negara lain yang mampu melakukannya ketika berdepan penularan Covid-19.

“Majlis presiden akan menghantar wakil PH untuk mengadakan pertemuan dengan yang di-pertua Dewan Rakyat pada kadar segera bagi membincangkan perkara-perkara di atas,” katanya.

Pihaknya juga membantah keras mesyuarat Parlimen pada 18 Mei, yang akan bersidang ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berjalan tanpa sesi jawab lisan, waktu pertanyaan menteri serta usul daripada wakil rakyat.

Gabungan itu berkata tindakan tidak membenarkan sesi berkenaan, yang dimaklumkan setiausaha Dewan Rakyat dalam notis 17 April, melanggar kelaziman dan peraturan mesyuarat Parlimen.

Tegasnya, fungsi Parlimen adalah sebagai tiang seri demokrasi dan institusi semak dan imbang untuk mengawasi perjalanan kerajaan.

“Majlis Presiden turut sedar keadaan PKP dan penularan wabak Covid-19 tidak memungkinkan perjalanan mesyuarat Parlimen seperti sediakala.

“Namun, apabila dilihat Parlimen di United Kingdom, Kanada dan Singapura yang berjaya mengubah peraturan masing-masing untuk meneruskan sidang pada ketika wabak Covid-19 melanda, kami percaya usaha yang sama mampu dilakukan bagi Parlimen Malaysia,” katanya.

Katanya, wakil rakyat yang hadir juga boleh dikurangkan ke jumlah yang munasabah untuk mengekalkan penjarakkan sosial tanpa menjejaskan korum mahupun peratusan parti masing-masing.

“Teknologi video dalam talian juga boleh diguna bagi ahli-ahli yang berhormat yang ingin mengambil bahagian di dalam perbahasan tanpa berada secara fizikal di dalam Dewan. Peraturan Mesyuarat perlu dipinda bagi tujuan di atas,” katanya.

Pihaknya turut mencadangkan supaya sidang Parlimen diadakan selama 2 hari bagi membahas dan membicangkan isu semasa, khususnya dalam membendung penularan Covid-19.

“Kami mencadangkan agar sidang diadakan selama sekurang-kurangnya 2 hari selain hari perasmian Parlimen bagi membolehkan perbahasan dan perbincangan yang lebih mendalam. Perubahan ini boleh dilaksana ketua majlis berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(2),” katanya.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Pada 17 April lalu, Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat dilaporkan berkata, istiadat perasmian Parlimen ditetapkan untuk diadakan pada 18 Mei dan serentak itu diadakan mesyuarat Dewan Rakyat.

Perkara itu dinyatakan dalam notis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang dihantar kepada ahli Parlimen.

Dinyatakan, penetapan itu mengambil kira pelaksanaan PKP yang mana Dewan Rakyat akan diadakan bagi membincangkan rang undang-undang dan usul kerajaan sahaja, serta tiada sesi pertanyaan jawab lisan serta usul daripada ahli Parlimen.