PKP dilanjut hingga 12 Mei

Perdana menteri tidak menolak kemungkinan PKP akan dilanjutkan selepas 12 Mei ini.

PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 12 Mei ini, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

PKP fasa ke-3 sepatutnya berakhir 28 April ini.

Muhyiddin tidak menolak kemungkinan PKP akan dilanjutkan lagi selepas 12 Mei nanti dan kerajaan akan menilai data terkini Kementerian Kesihatan untuk menentukan langkah seterusnya.

“Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung.

“Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya,” katanya dalam perutusan khas malam ini.

Bagaimanapun, katanya, jika kes Covid-19 terus mencatatkan penurunan ketara, kerajaan mungkin melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor, termasuk sektor sosial.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara sedang merangka satu pelan menyeluruh mengenainya.

Katanya, Putrajaya sedang mengkaji kaedah memulihkan ekonomi secara bertahap, termasuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek dan sederhana bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas PKP berakhir.

“Tumpuan pada masa ini adalah untuk mengenal pasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana, serta mendorong keyakinan rakyat dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara.”

Muhyiddin berkata, antara inisiatif yang sedang dirangka ialah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta memupuk persekitaran pelaburan lebih positif untuk masa depan.

“Saya ingin memberikan sedikit bayangan. Walaupun PKP mungkin dilanjutkan lagi selepas ini, syarikat-syarikat dalam sektor tertentu akan dibenarkan beroperasi, tertakluk kepada pematuhan syarat yang mementingkan keselamatan pekerja, penjarakan sosial dan kebersihan tempat bekerja.

“Selepas ini, kerajaan akan menimbang untuk membuka beberapa sektor dan sub-sektor lain, tertakluk kepada syarat-syarat ketat.

“Ini untuk menjamin syarikat terus berdaya saing dan para pekerja dapat terus bekerja dalam persekitaran selamat.”