Putrajaya ulangi tak benar ‘balik kampung’ sambut Ramadan

Kerajaan tidak membenarkan rakyat pulang ke kampung sambut Ramadan.

PUTRAJAYA: Putrajaya mengulangi arahan tidak membenarkan mana-mana rakyat pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan, esok.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata sebarang pergerakan dari bandar untuk pulang ke kampung tidak dibenarkan sama sekali.

“Yang ada di bandar nak balik ke kampung tak boleh… tidak boleh. Daripada awal lagi kata tak boleh.

“Ramai ingin balik menyambut bulan puasa (Ramadan) esok, nak berbuka di kampung. Jangan ada keliru jangan ada pergi lapor polis nak balik kampung… tak boleh,” katanya pada sidang media harian.

Semalam, Ismail berkata mereka yang terkandas di kampung dan mahu pulang ke rumah masing-masing dikehendaki mendaftarkan diri mulai 25 April untuk membantu kerajaan menguruskan perkara itu.

Ismail berkata mereka boleh mendaftarkan diri melalui aplikasi dalam talian GerakMalaysia, atau membuat temujanji dengan balai polis berdekatan untuk pendaftaran diri jika tiada kemudahan internet.

Katanya, pengumpulan data ini memerlukan butiran diri pendaftar, bilangan ahli keluarga yang mahu pulang bersama dan tempat tinggal mereka.

Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan akan mengkaji sama ada membenarkan rakyat Malaysia yang terperangkap di kampung untuk pulang ke rumah masing-masing.

Beliau berkata buat masa ini belum ada keputusan dan sebaliknya perlu mengkaji dulu secara menyeluruh.

“Kita kata cuma benarkan mereka mendaftar atau lapor pada polis supaya dapat informasi jelas berapa sebenarnya yang balik sebelum PKP.

“Kita nak dapatkan info… selepas dapat info akan jelaskan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berbincang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata sepanjang Ramadan, SOP PKP seperti yang diumumkan sepanjang PKP1, 2 dan 3 masih terpakai.

Beliau berkata bagaimanapun mesyuarat hari ini mengambil keputusan untuk membenarkan operasi kenderaan awam dilanjutkan dari jam 4 petang hingga 10 malam, berbanding jam 5 petang hingga 10 malam sebelum ini.

Ismail berkata manakala operasi pasar awam juga dilanjutkan dari jam 6 pagi hingga 2 petang, berbanding jam 6 pagi hingga 12 tengah hari sebelum ini.

“Kelonggaran waktu ini diberi untuk memudahkan umat Islam membuat persediaan berbuka puasa sepanjang Ramadan,” katanya.

BERITA LANJUT MENYUSUL