Selepas Nadia, 7 lagi haiwan di Bronx Zoo positif Covid-19

Antara harimau Malaya yang berada di Zoo Negara dan dipantau rapi oleh penjaga.

Selepas seekor harimau Malaya yang dikenali dengan nama Nadia, kini 7 lagi haiwan di Zoo Bronx, New York turut positif Covid-19.

4 harimau dan 3 singa Afrika di zoo tersebut mula menunjukkan simptom jangkitan sejak awal April dan ujian keatas haiwan berkenaan mengesahkan ia memang dijangkiti virus tersebut.

Laporan ini menyusul selepas berita seekor harimau Malaya bernama Nadia yang terlebih dahulu dijangkiti wabak itu awal bulan ini.

Nadia yang dikesan mengalami simptom batuk dan kurang selera makan dipercayai kes haiwan pertama yang jatuh sakit akibat dijangkiti Covid-19 daripada manusia.

Menurut Wildlife Conservation Society, ia menjadikan 8 keluarga kucing di zoo berkenaan kini dijangkiti dan punca jangkitan masih lagi disiasat.

Tambahnya, kelapan-lapan haiwan itu berada dalam keadaan normal dan tidak menghadapi masalah makan.

Haiwan-haiwan itu dipercayai dijangkiti pekerja zoo, namun tidak diketahui bagaimana jangkitan itu berlaku.

Selain Bronx Zoo, langkah pencegahan sedang dijalankan ke atas semua zoo di bawah kendalian Wildlife Conservation Society di New York termasuk Central Park Zoo di Manhattan, Prospect Park Zoo di Brooklyn dan Queens Zoo.

Kesemua zoo tersebut ditutup sejak 16 Mac.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]