Tiada lagi zon jingga Covid-19

Sebanyak 5,532 kes Covid-19 direkodkan di negara ini dengan 93 kematian.

PETALING JAYA: Tiada lagi daerah zon jingga Covid-19 di negara ini, menurut infografik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan hari ini.

Semalam, terdapat 7 daerah zon jingga, yang merupakan kawasan dengan 21 hingga 40 kes aktif.

Kawasan tersebut ialah Gombak (Selangor), Putrajaya (Wilayah Persekutuan), Dungun (Terengganu), Jasin (Melaka), Tawau (Sabah), Kulai dan Muar (Johor).

Kawasan itu kini adalah daerah zon kuning.

Sementara itu, hanya terdapat 13 daerah kekal zon merah berdasarkan kes aktif dengan lebih 40 kes masih dirawat. Semalam, terdapat 14 daerah, namun Cheras kini diklasifikasikan sebagai zon kuning.

Terdapat 64 daerah zon hijau dengan kes sifar aktif di seluruh negara.

Zon merah ialah:

  • Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa (Kuala Lumpur)
  • Petaling, Hulu Langat, dan Klang (Selangor)
  • Johor Bahru dan Kluang (Johor)
  • Kuching dan Kota Samarahan (Sarawak)
  • Melaka Tengah (Melaka)
  • Seremban (Negeri Sembilan)
  • Kuantan (Pahang)

Sehingga kini, sebanyak 5,532 kes Covid-19 direkodkan di negara ini dengan 93 kematian. Sebanyak 3,452 orang pulih sementara 1,987 masih dirawat.