Tiada notis sebelum umum PKPD elak warga asing lari, kata Ismail

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak memberi notis sebelum pengumuman penutupan Pasar Borong Selayang bagi mengelakkan warga asing melarikan diri secara beramai-ramai.

Beliau berkata sebab itu kerajaan menutup terlebih dahulu kawasan yang perlu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk memastikan mereka dipantau dan disaring kesihatan terlebih dahulu.

Katanya, jika ada yang terlepas lari di PKPD Selayang, polis akan mengesan dan menangkap mereka semula.

“Kita akan tutup malam dan pukul 2 (keesokannya) saya akan umum sebab takut mereka lari.

“Kalau beri tempoh 2 hari, tentu sahaja mereka akan lari. Bayangkan di Selangor Mansion, 2 org yang lari itu positif Covid-19… terpaksa guna polis tangkap semula mereka sebab jika dibiarkan mereka akan jangkiti orang lain dan merebak lebih besar,” katanya pada sidang media harian.

Selasa lalu, polis menahan seorang lelaki dipercayai warga asing yang cuba melarikan diri daripada kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang yang berada bawah PKPD.

Sebelum ini, Ismail berkata kerajaan memutuskan untuk meletakkan Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang dalam status PKPD sehingga 3 Mei.

Ismail berkata mereka yang dijangkiti Covid-19 di kawasan PKPD akan dihantar terus ke hospital agar memastikan kawasan itu benar-benar bersih.

Ismail beri jaminan mereka yang lari daripada kawasan PKPD akan ditangkap semula.

Ismail memaklumkan setakat semalam, polis bersama tentera mengadakan 835 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 581,942 kenderaan.

Beliau berkata sebanyak 41,184 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,658 premis diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Polis menangkap 763 individu berbanding 865 individu hari sebelumnya, kerana ingkar PKP, merangkumi 648 individu yang direman dan 115 individu dijamin polis.

“Seramai 860 individu juga dituduh di mahkamah semalam,” katanya.