Timbalan menteri WP nafi wakil rakyat PH dilayan dwistandard

Edmund Santhara mendakwa P Prabakaran dihalang seorang pegawai MKN daripada menyertai sebuah mesyuarat yang dipengerusikannya dan ahli Parlimen Batu itu diminta tunggu sehingga mesyuarat selesai.

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara menafikan kerajaan mengamalkan layanan dwistandard terhadap ahli Parlimen Pakatan Harapan.

Katanya, beliau mengalu-alukan usaha mereka untuk membantu rakyat, tetapi “tertakluk kepada pematuhan undang-undang dan prosedur operasi standard yang berkuat kuasa”.

Ini selepas Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran mendakwa beliau diherdik dan dihalau daripada mesyuarat Jabatan Kebajikan Masyarakat oleh Edmund, walaupun beliau tidak menyebut nama Edmund.

Prabakaran dilaporkan berkata, beliau ke sana untuk mengemukakan cadangan kerana pengundinya tinggal di sebahagian kawasan Selayang yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Prabakaran dilaporkan ditahan dan dibawa ke balai polis sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Edmund mendakwa Prabakaran dihalang seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) daripada menyertai sebuah mesyuarat yang dipengerusikannya dan ahli Parlimen itu diminta tunggu sehingga mesyuarat itu selesai.

Edmund dalam kenyataan hari ini berkata, beliau dan Prabakaran menemui Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berhubung perkara itu semalam.

“Dalam perbincangan itu, semua persoalan beliau telahpun dijawab dan ruang telah diberikan untuk beliau mengemukakan cadangan tentang kaedah-kaedah bagaimana JKM menjalankan operasinya,” katanya sambil menafikan dakwaan Ahli Parlimen Johor Bahru daripada PKR, Akmal Nasir yang kerajaan mengamalkan dwistandard.

Beliau berkata, ahli Parlimen perlu tahu perbezaan antara PKP dan PKPD.

Katanya, di bawah PKP, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang boleh bekerjasama dengan JKM, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk membantu rakyat.

“Bagaimanapun, bagi kawasan yang terlibat dengan PKPD, ahli Parlimen kerajaan ataupun pembangkang tidak dibenarkan sama sekali masuk ke kawasan PKPD tanpa kebenaran.”

Beliau berkata, ahli Parlimen perlu mendapatkan kebenaran daripada Pusat Pengurusan Krisis (CMC) dan ketua polis untuk memasuki kawasan PKPD di Kuala Lumpur.

“Malah saya sendiri hanya dibenarkan berada di PKPD atas kapasiti sebagai timbalan pengerusi/pengerusi ganti kepada mesyuarat CMC Wilayah Persekutuan dan telah melalui prosedur berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pihak terlibat.”

Pada 20 April lalu, kerajaan mengumumkan Pusat Bandar Utara di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang sebagai kawasan ke-6 dikenakan PKPD.