3 wanita Mongolia fail permohonan bebas daripada tahanan polis

Firma guaman Thomas Philip berkata, penahanan 3 anak guamnya di sebuah rumah selamat ‘sama seperti satu bentuk penahanan yang secara langsung melanggar kebebasan asasi mereka’.

SHAH ALAM: Tiga wanita Mongolia yang ditahan polis untuk siasatan ke atas dakwaan pemerdagangan manusia, memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah perlindungan sementara yang menyebabkan mereka dikurung.

Firma guaman yang mewakili 3 wanita itu, Thomas Philip, berkata penahanan mereka di sebuah rumah selamat “sama seperti satu bentuk penahanan yang secara langsung melanggar kebebasan asasi mereka”.

“Kami kata tiada asas untuk polis mengesyaki mereka ialah orang diperdagangkan,” kata firma guaman itu dalam permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

“Disebabkan bantuan mereka yang menyebabkan polis membuat tangkapan (atas dakwaan kes rogol) dan mereka bertiga turut bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan.”

Thomas Philip berkata, pengurungan 3 wanita itu turut mengehadkan akses mereka untuk berkomunikasi “dengan dunia luar”.

“Seorang daripada 3 wanita itu mempunyai masalah kesihatan dan beliau tidak dapat menghubungi ibunya yang sakit.”

Tiga wanita itu dilaporkan ditahan polis untuk siasatan di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang Dan Anti-penyeludupan Migran.

Semalam, firma guaman itu memfailkan satu saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap seorang inspektor polis dan pemilik sebuah hotel butik di Petaling Jaya bagi pihak 2 wanita Mongolia lain.

Wanita berusia 20 dan 37 tahun itu, yang identiti mereka dirahsiakan kerana mereka mungkin memfailkan perintah larangan sementara (gag order), menyaman inspektor itu atas penahanan salah dan serangan seksual.

Mereka turut menyaman hotel berkenaan kerana membantu anggota polis terbabit melakukan kesalahan yang dikatakan itu.

Dua wanita itu menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai.

Dua wanita itu dilaporkan ditahan di satu sekatan jalan di Petaling Jaya pada 10 April lalu atas dakwaan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Anggota polis itu didakwa membawa 2 wanita terbabit ke sebuah hotel di mana beliau dituduh merogol mereka.

Seorang suspek berusia 30 tahun direman 7 hari, tetapi dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lalu.

Polis Petaling Jaya dilaporkan berkata, kertas siasatan kes itu sudah dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya di Shah Alam untuk tindakan lanjut.