88 kes baru Covid-19, 1 kematian

PUTRAJAYA: Bilangan kes baru jangkitan Covid-19 terus menunjukkan angka 2 digit masuk hari ke-10 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 3 dengan 88 kes setakat 12 tengah hari tadi.

Perkembangan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 5,691, dengan 1,932 kes aktif sedang menerima rawatan.

“Sehingga kini, seramai 41 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 18 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Beliau turut mengumumkan terdapat 1 kematian berkaitan jangkitan itu.

Kes kematian ke-96 itu merupakan kes jangkitan ke-2978, merupakan seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, dan penyakit buah pinggang.

Mangsa mempunyai sejarah kontak dengan kes jangkitan ke-1345, yang mempunyai sejarah pulang dari Indonesia. Dia dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 31 Mac dan disahkan meninggal dunia hari ini pada 2.29 pagi.

Sementara itu, sebanyak 121 kes pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan jumlah keseluruhan 3,663 kes, bersamaan 64.4% daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19.