Ahli Parlimen PP dakwa ‘ejen politik’ agih bantuan makanan Putrajaya

Kira-kira 1,000 hamper makanan diletakkan di dewan serba guna Balik Pulau. (Gambar ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik).

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen pembangkang di Pulau Pinang mendakwa mereka dipinggirkan dalam pengagihan hamper makanan Covid-19 kepada golongan miskin di kawasan mereka.

Mereka berkata, bantuan itu sebaliknya disalurkan melalui ejen politik daripada gabungan kerajaan yang mengabaikan senarai “individu miskin yang layak” yang disediakan oleh ahli Parlimen kawasan terbabit.

Ahli Parlimen itu juga berkata, terdapat 2 jenis hamper makanan daripada Putrajaya, iaitu “bakul makanan” daripada Kementerian Kewangan dan hamper daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Kementerian Kewangan memperuntukkan 1,000 hamper makanan bernilai RM100 setiap satu kepada semua ahli Parlimen di seluruh negara, sementara Nadma menyediakan 1,000 hamper bernilai RM50 kepada setiap daerah, yang kemudiannya diagihkan oleh wakil rakyat berkenaan.

Hamper makanan itu mengandungi beras, makanan kering dan barang keperluan lain sebagai sebahagian daripada bantuan sekali gus kepada golongan miskin.

Difahamkan bahawa hanya kerusi Parlimen Tanjung yang diwakili oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Bukit Bendera dan Jelutong menerima 500 hamper setiap kawasan.

Terdapat 13 kerusi Parlimen di negeri ini. Tujuh diwakili oleh DAP, 4 PKR dan masing-masing 1 oleh Umno dan PPBM.

Surat yang didakwa ditandatangani oleh timbalan menteri pendidikan tinggi mengarahkan jabatan kebajikan negeri menyerahkan hamper makanan Covid-19 kepada penyelaras di Pulau Pinang.

“Seorang pegawai kebajikan memberitahu saya, “YB minta maaf, saya terima arahan untuk berikan hamper kepada parti ‘haluan kerajaan’,” kata ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik kepada FMT.

“Daripada senarai (penerima layak) yang saya beri, hanya beberapa orang yang terima (hamper). Setakat yang saya tahu, daripada 1,000 hamper, masing-masing 450 diberikan kepada Umno dan PAS, sementara bakinya kepada PPBM,” katanya.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kashturi Patto berkata, beliau tidak terkejut apabila parti politik dilantik sebagai ejen pengagihan.

Katanya, beliau diberitahu mengenainya dalam satu mesyuarat Jabatan Kebajikan di sebuah pejabat daerah pada 14 April.

Kashturi berkata, ia merupakan perubahan besar kerana pada 30 Mac pegawai Jabatan Kebajikan meminta senarai mereka yang layak menerima bantuan.

“Seorang pegawai beritahu bahawa 800 hamper untuk kawasan saya diberikan kepada parti politik untuk diagihkan.

“Dalam mesyuarat pada 14 April, saya diberitahu oleh pegawai kebajikan bahawa ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican Naina Merican akan mengetuai pengagihan bantuan di Pulau Pinang dengan dibantu oleh ahli Parlimen Nibong Tebal Mansor Othman sebagai timbalan beliau.

“Saya fikir penderitaan rakyat tidak harus diperkecilkan dengan mempolitikkan bantuan kebajikan. Oleh sebab ia datang daripada Kementerian Kewangan, maka ia merupakan wang pembayar cukai.”

Kashturi juga berkata, hamper makanan itu diberikan kepada parti politik dengan sebahagian besarnya, iaitu 800 diperolehi oleh Umno dan PAS, sementara baki 200 kepada PPBM.

Ahli Parlimen Bayan baru Sim Tze Tzin berkata, sepucuk surat daripada Kementerian Pendidikan Tinggi mengarahkan semua hamper makanan diagihkan kepada penyelaras.

Beliau berkata, surat yang ditandatangani oleh Mansor, yang merupkan timbalan menteri pendidikan tinggi, adalah “pelik” kerana kerajaan menjamin pengagihan bantuan makanan Covid-19 yang bersifat bipartisan.

“Perdana menteri berkata, kita akan berikan kepada semua dan tidak ada orang yang akan ketinggalan. Kami gembira apabila mereka menghubungi supaya menyediakan senarai nama penerima yang layak.

“Saya beri 1,000 nama orang miskin, kurang upaya dan warga emas daripada jawatankuasa pembangunan kampung. Kemudian kami tunggu, tetapi tak ada berita.

“Bila kami lihat surat Mansor, kami nampak nama ahli politik sebagai penyelaras. Bagaimana kami hendak pastikan penerima yang layak mendapat bantuan? Apakah ia kini menjadi satu bentuk habuan politik?”, soalnya.

FMT telah menghubungi Reezal dan Mansor untuk respons.