Negara G20 digesa bantu hentikan jual haiwan liar di pasar Wuhan!

Negara anggota G20 digesa bantu menghentikan penjualan haiwan liar di pasar kerana bimbang ia boleh mengancam kesihatan manusia. (Gambar AP)

Australia membuat permohonan inkuiri antarabangsa supaya negara anggota G20 membantu menghentikan penjualan haiwan liar di pasar kerana bimbang ia boleh mengancam kesihatan manusia dan pasar pertanian.

Ia susulan pandemik Covid-19 yang berasal dari China bermula di pasar basah yang menjual haiwan liar di bandar Wuhan.

Menteri Pertanian Australia, David Littleproud, berkata beliau meminta pegawai kerajaan dari negara anggota G20 untuk menyokong rancangan bagi menghentikan pasar basah yang menjual haiwan liar itu.

“Mereka terdedah kepada pasar basah haiwan liar sekali gus boleh memberi risiko terbesar terhadap industri pertanian seperti yang mereka lakukan untuk kesihatan awam,” katanya kepada media tempatan.

Pegawai pentadbiran Amerika Syarikat (AS) turut memohon pasar basah di seluruh negara Asia ditutup.

Littleproud bagaimanapun tidak menyebut China secara terperinci, tetapi komennya menyusul apabila memohon inkuiri antarabangsa sebagai usaha mengawal pandemik itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dalam kenyataan yang dimuatnaik di akaun Twitternya, semalam berkata beliau ada membangkitkan berkenaan inkuiri itu ketika menghubungi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan negara kuasa besar lain.

Perancis dan Britain, kedua-dua negara itu menegaskan bahawa ini masanya untuk melawan virus dan tidak menyalahkan sesiapa.

China menuduh penggubal undang-undang Australia menerima arahan dari AS.

White House pula tidak sehaluan dengan China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menguruskan pandemik itu sehingga negara Uncle Sam itu bertindak menarik semula dana terhadap agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

China rakan dagang terbesar Australia, namun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu “huru-hara” sejak beberapa tahun kebelakangan ini gara-gara dakwaan Beijing dalang serangan siber dan cuba mencampuri hal dalaman Australia.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) mahu China menutup pasar basah yang menjual haiwan liar di negara itu kerana ada kaitan dengan penyebaran penyakit zoonotik.

Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha AS, Mike Pompeo, semalam.

“Bersandarkan kaitan kuat antara penjualan haram haiwan liar di pasar basah dan penyakit zoonotik, AS meminta China menutup terus pasar basah haiwan liar dan semua pasar yang menjual haiwan liar secara haram,” katanya.

Wabak Covid-19 dipercayai berasal dari pasar berkenaan yang terletak di tengah bandar Wuhan pada tahun lalu.

Kesannya, wabak itu menular ke seluruh dunia sehingga menjadi pandemik dan mengorbankan lebih 180,000 orang, selain menjangkiti lebih 2.6 juta orang, berdasarkan pengiraan dilakukan Agensi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]