Bapa 3 anak dipenjara sebulan ceroboh rumah kenalan ketika PKP

Majestrit memerintahkan hukuman penjara sebulan terhadap lelaki ceroboh rumah kenalan ketika PKP.

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur terpaksa menyambut Ramadan di dalam penjara setelah dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Selayang, hari ini kerana menceroboh masuk dalam kawasan rumah kenalannya dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Shahir Abdul Aziz, 33, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Bapa 3 anak itu dihukum penjara sebulan bagi pertuduhan menceroboh masuk dalam kawasan rumah milik seorang lelaki manakala penjara 25 hari kerana melanggar PKP.

Nur Hafizah memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 21 April lepas. Tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama sebulan.

Dia didakwa menceroboh masuk dalam kawasan sebuah rumah di Jalan Gombak Batu 11, Gombak pada 10.30 malam, 9 April lepas mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 6 bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, semasa pemilik rumah itu berada dalam rumah beliau terdengar bunyi ada seseorang masuk ke dalam kawasan rumahnya dan ternampak tertuduh sedang menggeledah barang di dalam bilik stor yang terletak di kawasan rumah.

Shahir mengaku bersalah ingkar PKP iaitu dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan serupa yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh.

“Kejadian ini berlaku semasa tempoh PKP walaupun tiada barang yang hilang tetapi saya memohon hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh,” katanya.

Peguam M Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum kerana anak guamnya telah insaf.