Bernas: Kawal jualan di Sabah elak beras disorok

Pemborong beras di Sabah sebelum ini mendakwa Bernas mencatu bekalan beras sejak awal bulan ini.

KOTA KINABALU: Padiberas Nasional Bhd (Bernas) berkata pihaknya mengawal penjualan beras kepada pemborong tertentu di Sabah bagi mengelak ia disorok susulan corak pembelian yang tidak normal pada suku pertama tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata langkah tersebut diperlukan untuk memastikan bekalan beras mencukupi, terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia berkata peningkatan penjualan sebanyak 10% dicatatkan dari Januari hingga Mac berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Bulan ini sahaja, katanya, rekod menunjukkan penjualan di Sabah melonjak 40% kerana kira-kira 61% pemborong di negeri itu membeli lebih banyak beras berbanding biasa.

“Dari jumlah tersebut, 37 pemborong membeli lebih 100% perolehan beras biasa mereka,” tambahnya.

“Terdapat juga peningkatan 27% pemborong yang tidak mempunyai rekod membeli beras dari Bernas sebelum ini.

“Keadaan yang tidak normal ini mendorong Bernas mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah beras disorok pihak tertentu.”

Pemborong beras di Sabah sebelum ini mendakwa Bernas mencatu bekalan beras kepada mereka sejak awal bulan ini.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Azuwan Marjan @ Norjan berkata, pemborong memberitahunya bahawa Bernas melakukannya sejak 13 April.

“Ini menyebabkan kekurangan beras di pasaran tempatan untuk pengguna, terutama dalam tempoh PKP dan Ramadan,” katanya.