Covid-19 bukan alasan tak bantu Rohingya, kata Majlis Peguam

Pertubuhan Bantuan Misi Kemanusiaan Selangor mengagihkan bekalan makanan kepada 40 keluarga Rohingya di Taman Dato Senu dan Kampung Puah, Kuala Lumpur ketika perintah kawalan pergerakan.

PETALING JAYA: Majlis Peguam mengulangi gesaan pelarian Rohingya ialah kumpulan mudah terjejas dan memerlukan perlindungan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Presidennya, Salim Bashir berkata pelarian itu melarikan diri dari negara asal akibat penindasan dan diskriminasi.

“Oleh itu, kami menggesa semua rakyat Malaysia untuk bersama membantu komuniti ini, yang lemah dalam usaha memerangi Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa kerajaan menghormati dan mendukung peraturan, amalan antarabangsa serta undang-undang tempatan.

“Pandemik ini tidak patut dijadikan alasan untuk menyimpang daripada kewajipan ini.”

Kenyataan ini menyusul tindakan kerajaan menyekat sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara disebabkan kawalan kemasukan lebih ketat akibat Covid-19 pada 16 April lalu.

Minggu lalu, 60 etnik Rohingya dilaporkan maut dalam bot yang sarat dengan ratusan pelarian Rohingya selepas pihak berkuasa Thailand dan Malaysia enggan membenarkan mereka memasuki perairan negara.

Salim berkata, tindakan kerajaan itu dikhuatiri melanggar prinsip tidak menghalau pelarian kembali ke negara asal di bawah undang-undang antarabangsa lazim, mengetepikan obligasi moral dan undang-undangnya dengan tidak menghalau individu yang nyawanya mungkin dalam bahaya.

Katanya, Majlis Peguam mengakui sekarang ialah masa mencabar untuk Malaysia dan rakyat kerana sumbernya semakin berkurangan.

“Kita wujud sebagai sebahagian masyarakat global dan perlu menyokong satu sama lain. Kita digesa tidak mengabaikan golongan tidak berdaya apabila mereka paling memerlukan kita.”

Beliau menggesa kerajaan melancarkan misi mencari dan menyelamat, menyediakan bantuan kemanusiaan serta rawatan perubatan yang diperlukan pelarian.