KKM sedia garis panduan keselamatan makanan sempena Ramadan

Penghantar makanan dinasihat mengamalkan jarak sosial semasa menghantar makanan kepada pelanggan.

PUTRAJAYA: Pengusaha, pengendali dan penghantar makanan disarankan mematuhi garis panduan keselamatan makanan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sempena bulan Ramadan yang mula disambut hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata, langkah itu bagi memastikan makanan yang disediakan kepada pelanggan dan pengguna adalah terjamin selamat.

Selain itu, katanya, penghantar makanan juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan jarak sosial yang selamat semasa menghantar makanan kepada pelanggan masing-masing.

Noor Hisham berkata, sepanjang tahun lalu terdapat 516 kejadian keracunan makanan melibatkan kira-kira 16,583 kes yang berpunca dari pengendali makanan yang tidak bersih dan selamat.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut, 34 keracunan makanan berlaku pada bulan puasa iaitu 1,032 kes.

Atas sebab itu, katanya, orang ramai hendaklah memastikan keselamatan makanan semasa dibeli atau sewaktu penyediaan untuk kebaikan diri sendiri dan ahli keluarga.

“Sentiasa amalkan konsep lihat, hidu dan rasa semasa bulan Ramadan sebelum menikmati juadah berbuka dan bersahur untuk memastikan makanan tersebut selamat dimakan,” katanya.

Beliau menambah, orang ramai boleh merujuk garis panduan keselatamatan makanan yang ditetapkan KKM di pautan http://fsq.moh.gov.my/v6/xs/page.php?id=441000617.