Majikan: Kerajaan perlu kaji semula polisi ambil pekerja asing

Pengawal keselamatan warga Nepal di Kuala Lumpur. Kumpulan majikan berkata kerajaan mesti merancang menggantikan ribuan pekerja asing dengan rakyat tempatan yang kehilangan pekerjaan berikutan Covid-19.

PETALING JAYA: Majikan berharap kerajaan dapat membuat keputusan segera mengenai polisi pengambilan pekerja asing, berikutan banyak syarikat dijangka mengurangkan pekerja selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) ditarik balik.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata perniagaan tidak lagi boleh beroperasi seperti biasa dengan ejen membawa masuk pekerja asing bekerja di negara ini sementara syarikat memberhentikan pekerja tempatan.

MEF berkata isu mengurangkan pekerja diajukan beberapa kali kepada pihak berkuasa dengan harapan langkah alternatif dapat diambil.

“Kerajaan perlu membuat keputusan mengenai perkara ini memandangkan pengangguran akan meningkat,” kata pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan kepada FMT.

“Adakah kita akan terus menggaji pekerja asing dalam sektor selain perladangan dan pembinaan?”

Shamsuddin berkata kira-kira 2 juta rakyat Malaysia atau 13% daripada tenaga kerja boleh hilang pekerjaan berikutan kesan Covid-19 ke atas ekonomi.

Shamsuddin Bardan

Beliau berkata terdapat ramai pekerja asing bekerja di bengkel kereta, syarikat pendawaian dan membaiki penyaman udara, restoran, kedai serbaneka 24 jam dan banyak tempat lain.

Rakyat Malaysia katanya, boleh dilatih untuk semua pekerjaan berkenaan.

Shamsuddin berkata kerajaan juga harus membuat keputusan mengenai kedai kecil yang dikendalikan oleh warga asing di pusat bandar dan langkah berperingkat menggantikan ribuan pengawal keselamatan warga asing dengan penduduk tempatan.

“Kerajaan perlu menyediakan polisi yang dapat menarik rakyat Malaysia kepada pekerjaan itu.

“Dalam sektor di mana rakyat Malaysia berkata mereka tidak mahu bekerja kerana ia ‘kotor’, jadi mari jadikannya kurang kotor dengan automasi,” katanya.

Sebagai contoh katanya, mesin basuh pinggan mangkuk boleh menggantikan 2 hingga 3 pekerja asing, dan hanya memerlukan seorang rakyat Malaysia untuk mengendalikannya.

“Ketika menyapu jalan raya, majikan boleh membeli penyapu jalan automatik yang dapat menyapu lebih banyak dan ia harus dikendalikan oleh orang tempatan,” katanya.

Namun beliau berkata, bagi memastikan automasi dapat direalisasikan, kerajaan perlu menawarkan pinjaman mudah kepada syarikat.

Shamsuddin berkata, Kementerian Sumber Manusia perlu berbincang dengan pihak berkepentingan mengenai cara menjenamakan semula pekerjaan dengan pensijilan seperti di New Zealand.

Beliau turut meminta kementerian mengkaji semula langkah yang diambil ketika krisis kewangan 1997/98 yang menyaksikan 800,000 pekerja asing dihantar pulang.

“Dengan langkah itu hanya 40,000 rakyat Malaysia diberhentikan,” katanya.

Pada 22 April, Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dalam satu kaji selidik mendapati 74% responden berasa subsidi gaji PKP tidak mencukupi untuk mengekalkan pekerja selama 3 hingga 6 bulan akan datang tanpa pemotongan gaji dan pengurangan tenaga kerja.

Ia berkata 78.7% syarikat akan memberhentikan atau mengurangkan sehingga 30% pekerja mereka.

Langkah pemotongan kos lain boleh merangkumi pembekuan jumlah pekerja, menetapkan cuti tanpa gaji, menghentikan beberapa elaun dan faedah bukan kontrak, cuti tahunan paksa, pengurangan waktu kerja, dan pengurangan beberapa faedah yang dipersetujui dalam perjanjian kolektif untuk kesatuan pekerja.