Malaysia di fasa pemulihan, kata Noor Hisham menjelang PKP4

Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memaklumkan Malaysia di fasa pemulihan wabak Covid-19, ketika jumlah pesakit pulih lebih separuh daripada keseluruhan kes koronavirus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah pesakit yang pulih dan dibenarkan keluar wad membentuk 64.4% daripada 5,691 kes positif Covid-19, bersamaan 3,663 kes.

“Kita bukan lagi berada dalam fasa puncak,” katanya pada sidang media hari ini. “Kami harap dapat meneruskan momentum, dan mengawal serta mengurangkan kes dari masa ke masa.”

Beliau bagaimanapun mengingatkan tidak mustahil akan berlaku lonjakan eksponensial dalam graf jangkitan sekiranya orang ramai melanggar kawalan.

Atas sebab itu, setiap lapisan masyarakat diseru terus mematuhi peraturan dan mengamalkan kebersihan diri, yang diamalkan sejak perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa pada 18 Mac lepas.

Semalam, kerajaan mengumumkan PKP dilanjutkan sehingga 12 Mei.